January 18, 2016

Tembak kereta rempuh sekatan

UNIT forensik PDRM memeriksa kenderaan yang ditinggalkan suspek.

Kuala Lumpur: Anggota polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dua suspek sejurus mereka merempuh sekatan jalan raya diadakan polis.

Dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin, dua lelaki yang menaiki kenderaan model Naza Citra itu memecut lari selepas melanggar sekatan berhampiran Pasar Borong Jalan Ipoh di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan Balai Jinjang mengejar kenderaan itu hampir satu kilometer sehingga ke kawasan Villa Lagenda, Taman Desa Bakti, di sini.

“Anggota polis menghimpit kenderaan berkenaan menyebabkan suspek memperlahankan kenderaan.

“Pada masa sama penumpang kenderaan itu melompat keluar. Seorang lagi suspek yang memandu kenderaan mengundurkan kenderaan dan cuba melanggar kereta peronda polis,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan mengenai tayar dan pintu kenderaan suspek.

“Bagaimanapun lelaki berkenaan sempat melarikan diri sejurus memberhentikan kereta di hadapan sebuah kondominium.

“Pemeriksaan lanjut polis di dalam kenderaan yang ditinggalkan suspek tidak menemui sebarang senjata. Pihak kami turut menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjejaki suspek,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Munusamy menolak dakwaan kes tembakan yang mencederakan seorang lelaki dan seorang kanak-kanak warga Myanmar di Pasar Borong Jalan Ipoh, Rabu lalu, mempunyai kaitan dengan isu perkauman.

Katanya, polis meminta orang awam supaya tidak mudah percaya khabar angin kononnya berlaku pergaduhan akibat isu perkauman di pasar berkenaan.

“Pihak kami kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu itu menyebabkan orang awam berasa takut,” katanya.

Dalam kejadian jam 10 malam Rabu lalu, lima individu menaiki dua kenderaan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai.

Beliau berkata, polis menemui lima kelongsong serta dua peluru di tempat kejadian.

“Susulan kejadian itu, pihak kami menangkap seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan. Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek memiliki rekod lampau dan tidak dikehendaki (wanted).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

myMetro 17 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment