January 31, 2016

'Takdir sudah tertulis'

NUR Aina Arissa.

Johor Bahru: “Saya tahu dia tidak salah, takdir sudah tertulis begini,” kata Mohd Hanif Jamal, 32, bapa bayi berusia 12 bulan yang maut selepas dilanggar van sekolah di rumah pengasuhnya di Taman Puteri, dekat Kulai, tengah hari semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, Nur Aina Arissa Mohd Hanif yang baru pandai berjalan pada hari jadinya bulan lalu, maut di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Menurut Mohd Hanif Jamal, 32, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi jiran pengasuh, jam 12.06 tengah hari.

“Saya difahamkan, anak saya berjalan keluar dari pagar rumah menuju ke jalan raya sebelum van sekolah yang menghantar kanak-kanak lain di rumah pengasuh, terlanggar anak saya,” katanya ditemui di kediaman bapa mentuanya di Taman Pulai Indah, di sini, malam semalam.

Mohd Hanif berkata, kali terakhir dia dan isteri, Anis Atiqah Ariza Arifin, 28, melihat anaknya itu ketika menghantar anak bongsu daripada dua beradik itu di rumah berkenaan, jam 7.30 pagi.

“Ketika di dalam kereta arwah sangat ceria dan bermain-main, cuma malam semalam (kelmarin) memang nampak dia manja lebih dengan abangnya, Muhammad Nor Fitri yang berusia tujuh tahun,” katanya.

Juruteknologi Maklumat itu berkata, dia dan keluarga reda dengan kejadian itu dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

“Saya dan pengasuh anak sangat rapat, kita kenal dah lama, dia jaga anak saya sejak enam bulan lalu,” katanya.

Jenazah Nur Aina Arissa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kangkar Pulai, di sini, selepas solat Maghrib, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Razak Md Said berkata, kemalangan itu di Taman Puteri, dekat Kulai, membabitkan van sekolah dipandu lelaki berusia 52 tahun.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila bayi perempuan yang ditempatkan di sebuah rumah pengasuh berjalan ke halaman rumahnya melalui pintu pagar yang terbuka dan menuju ke jalan raya.

“Pada ketika itu, datang van sekolah dari arah bertentangan menurunkan anak pengasuh yang baru pulang dari sekolah di rumah berkenaan.

“Tanpa disedari, van berkenaan yang bergerak ke hadapan terlanggar bayi berkenaan,” katanya.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 28 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment