January 13, 2016

Tak mengaku ugut untuk RM10

KOTA BHARU - Pengakuan seorang penganggur yang mengugut mencederakan bapa saudaranya dengan pisau ditolak mahkamah majistret, di sini, semalam, berikutan dia tidak mengakui fakta perjalanan kejadian kes berkenaan.

Tertuduh, Muhamad Kamaruzaman Shiyedi, 29, didakwa secara jenayah menakutkan, Zulkifli Awang, 52, di sebuah rumah tanpa nombor di alamat Jalan Pasir Hor, Telaga Limau Pendek, di sini, pada jam 9 malam, 26 Disember, tahun lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh pada mulanya mengaku bersalah selepas tuduhan itu dibacakan dan jurubahasa kemudian membacakan fakta perjalanan kes berkenaan.

Dalam kejadian itu, pengadu duduk di tangga rumahnya dan datang tertuduh meminta wang RM10.

Pengadu mengatakan dia tidak mempunyai wang dan mengiringi tertuduh pulang sambil menasihati tertuduh.

Sampai di rumah, tertuduh masuk ke dapur sambil diekori tertuduh yang masih menasihatinya. Tertuduh kemudian mengambil sebilah pisau dan mengacukan kepada tertuduh sambil berkata: “Lama... aku tikam kea (kan)”.

Pengadu yang takut dengan ancaman itu lari keluar dari rumah dan menghubungi polis. Tangkapan yang dibuat ke atas tertuduh serta ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif morfin.

Selesai fakta dibacakan, tertuduh yang berpeluk tubuh dalam kadang pesalah bergeleng-gelengkan kepalanya menafikan rentetan kejadian itu.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 15 Februari depan, sementara tertuduh dibenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Dalam perkembangan lain, seorang remaja berusia 19 tahun, Muhammad Azunie Abdullah@Omar mengaku tidak salah mengugut ibunya, Rahimah Ibrahim, 42, dengan parang di sebuah rumah alamat Belakang Masjid Kedai Buloh, Jalan Kuala Besar, di sini, pada jam 5.30 petang, 1 Januari lalu.

Tertuduh turut dibenarkan jaminan RM4,000 dan sebutan semula kes  ditetapkan 2 Februari depan.

Sinar Harian 12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment