January 3, 2016

Tahi kucing punya pasal

Kampar: Lelaki, 52, yang juga pemilik bengkel cedera dan terpaksa menerima 22 jahitan selepas dibelasah pemilik bengkel bersebelahan akibat perselisihan faham disebabkan tahi kucing di Taman Bandar Baru Kampar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa dipercayai sedang menutup premisnya dan melihat ada orang membuang tahi kucing di belakang premisnya itu sebelum najis yang dibuang melalui lubang kecil berhampiran paip air terkena kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata, mangsa kemudiannya cuba berbincang secara baik dengan suspek yang juga pemilik bengkel bersebelahan premis perniagaannya namun perbincangan itu gagal.

"Suspek kemudiannya marah dan bertindak mengambil sebatang besi dan memukul mangsa bertalu-talu di belakang badan dan kaki.

"Akibat itu, mangsa terpaksa menerima 22 jahitan selepas dibawa ke Hospital Kampar sebelum membuat laporan polis sebaik selesai menerima rawatan itu," katanya.

Menurut Kong Soon, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pihaknya masih memburu suspek yang dipercayai berusia 54 tahun.

myMetro 3 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment