January 11, 2016

Suami isteri maut dirempuh kereta

ALOR SETAR – Sepasang suami isteri warga emas maut setelah motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah kereta ketika mahu membuat pusingan U di Padang Perahu Jalan Jitra-Kodiang, Kubang Pasu semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.14 pagi itu, mangsa, Zaiton Hassan, 60, dari Kampung Padang Asam, Padang Perahu maut di tempat kejadian manakala suaminya, Zainal Shafie, 62, me­ninggal dunia kira-kira pukul 3.30 petang ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abd. Rahim Abdullah berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Jitra ke Kodiang.

“Sebaik tiba di laluan tersebut motosikal yang ditunggang mereka mahu membuat pusi­ngan U sebelum dirempuh sebuah Proton Waja yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 50 tahun dari arah sama.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak di atas jalan dan mengalami kecede­raan parah pada bahagian kepala manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecedera­an,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambah Abd. Rahim, isteri mangsa maut di tempat kejadian sementara suaminya dibawa ke HSB sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kosmo 10 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment