January 5, 2016

Simptom luar biasa

Kuala Terengganu: “Perbualan dengan doktor merawat arwah sebelum ini ada beritahu simptom demam denggi berdarah dialami suami berbeza dan jarang ditemui berikutan tidak menunjukkan tanda-tanda pendarahan pada liang roma,” kata Fatimah Othman, 63, isteri kepada Allahyarham Yusof Ismail, 65, ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Gong Gemia, Panji Alam, di sini, semalam.

Menurutnya, tiada tanda-tanda demam denggi dialaminya, sebaliknya pendarahan melalui mulut dan hidung selain organ dalaman mengalami kerosakan.

Akhirnya suaminya meninggal dunia pada Sabtu lalu apabila disahkan menghidap denggi berdarah selepas empat hari menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Doktor beritahu tanda itu jarang ditemui dan sebelum dirujuk ke hospital, arwah suami beberapa kali melalui sesi ujian darah bagi memastikan penyakit dihidapinya.

“Saya dimaklumkan virus itu merebak melalui perut dan menyerang organ dalaman hingga mengakibatkan pendarahan pada mulut dan hidung.

“Saya reda dengan kejadian ini dan berharap ia menjadi pengajaran kepada masyarakat dan kepentingan menjaga kebersihan bukan hanya di halaman rumah, malah di seluruh kawasan berisiko,” katanya.

Yusof mangsa denggi pertama di Terengganu yang meninggal dunia dan ketika dalam tempoh tiga minggu di negeri itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mohammad Omar mengesahkan simptom dialami mangsa meninggal dunia pada Sabtu lalu berbeza dengan tanda biasa dialami pengidap denggi.

Menurutnya, pihaknya ingin menasihatkan orang ramai yang mengalami demam berlarutan supaya segera ke hospital.

Katanya, apabila pesakit menerima rawatan awal tentunya tindakan segera membantu dapat dilakukan sebelum organ atau keadaannya menjadi lebih serius.

“Sejak dua minggu lalu, empat kematian dicatatkan di kawasan wabak membabitkan kampung yang berisiko tinggi iaitu Gong Gemia, Kampung Nibong dan Panji Alam,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong membersihkan kawasan Kampung Gong Gemia, di sini.

Katanya, satu mesyuarat jawatankuasa petugas khas denggi bersama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif abd Rahman akan diadakan bagi menangani permasalahan terbabit pada hari ini.

Pengarah Perkhidmatan Perbandaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Yusaini Amir Mohamad pula berkata, MBKT sentiasa menjalankan kerja pembersihan kawasan di bawah seliaannya melalui kontraktor dilantik.

MBKT sentiasa memberi kerjasama sekiranya pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau penduduk setempat meminta bantuan sekiranya ingin menjalankan kerja gotong-royong,” katanya.

myMetro 5 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment