January 24, 2016

Siapa ragut?

RUMAH pusaka berusia 68 tahun musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Melaka: Seorang penyamun mengambil kesempatan meragut telefon bimbit milik seorang wanita ketika mangsa menghubungi saudaranya bagi memaklumkan kebakaran rumah jiran di Kampung Limbongan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, wanita terbabit, Hasnah Jaafar, 60-an, menghubungi saudaranya bagi memaklumkan dia tidak dapat menghadiri majlis akad nikah anak saudaranya berikutan laluan keluar dari rumahnya dihalang jentera bomba.

Adik mangsa, Kamarudin Jaafar, 58, berkata, pada mulanya kakaknya menyangka dia yang mengambil telefon bimbit itu, namun terkejut selepas mendapati ia dilakukan orang lain.

“Selepas kejadian itu dimaklumkan kepada orang ramai, telefon terbabit dipulangkan semula seorang penduduk tidak sampai sejam selepas ia dilaporkan hilang.

“Sehingga kini, kami tidak tahu siapa sebenarnya yang mengambil telefon bimbit itu, namun bersyukur ia ditemui semula,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, mangsa kebakaran, Syed Mohamad Hood, 68, berkata, ketika kejadian dia membaca al-Quran di Masjid Kampung Limbongan sementara menunggu untuk menunaikan solat Isyak berjemaah.

Namun, belum sempat menghabiskan surah dibaca, dia didatangi seorang penduduk dalam keadaan cemas memaklumkan rumah pusaka milik saudaranya yang dijaganya terbakar dan memintanya pulang segera.

“Sejurus melangkah keluar dari masjid, saya nampak api marak selain asap hitam yang tebal membuatkan saya tidak sempat menyelamatkan barang peribadi.

“Tetapi, syukur saya sempat menyelamatkan motosikal yang diletakkan di luar rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu Khairudin Jamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.09 malam.

Beliau berkata, tiga jentera masing-masing dari BBP Jalan Kubu dan BBP Tangga Batu bersama 25 anggota termasuk dua pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami tiba di lokasi lapan minit kemudian dan ketika itu, 80 peratus rumah berkenaan dijilat api. Kami menumpukan usaha mengawal kebakaran daripada merebak berikutan kedudukan antara kediaman rapat.

“Kebakaran dipercayai bermula dari dapur sebelum merebak ke bahagian lain dan ketika kejadian, rumah berkenaan tidak berpenghuni,” katanya.

myMetro 24 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment