January 2, 2016

'Saya pergi bertapa'


SITI Hawa menunjukkan surat yang ditinggalkan anaknya.

Simpang Renggam: “Assalamualaikum, sewaktu mak sedang baca surat ini, Angah dah tiada di Simpang Renggam, Angah sudah berada di Gunung Ledang untuk bertapa,” demikian antara nukilan terakhir seorang remaja kepada ibunya selepas menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Batu 7, Blok 3 pada 28 Disember lalu.

Ibrahim Abd Jamel, 61, berkata, anaknya, Mohd Azhan, 18, dipercayai keluar dari pintu dapur tanpa disedarinya yang ketika itu berada di halaman rumah jam 7.30 pagi.

Ketika itu anak-anaknya yang lain berada di dalam bilik mereka manakala isterinya, Siti Hawa M Said, 46, berada di dalam bilik mandi.

Ibrahim dan isterinya yang tidak mengesyaki apa-apa hanya membiarkan ketiadaan anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu, namun apabila lewat senja kebimbangan mula timbul, apatah lagi telefonnya ditutup dan tidak boleh dihubungi.

“Sebaik memeriksa bilik Azhan, kami terkejut apabila mendapati sepucuk surat yang diletak di atas meja kecil menyatakan dia berhasrat mencari ketenangan dengan bertapa di Gunung Ledang.

“Lebih menghairankan di dalam surat itu, dia meminta kami tidak khuatir makan minum dan kehilangannya hanya sebulan sambil mengatakan meminta maaf lebih senang daripada minta izin,” katanya.

Dia yakin anaknya dibawa pihak tertentu kerana tidak mungkin dia boleh bertindak keluar sehelai sepinggang jika mengetahui hanya akan berada di Gunung Ledang selama sebulan.

Ibrahim berkata, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Simpang Renggam sambil mengharapkan bantuan orang ramai untuk menjejaki anaknya dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau 014-6171992,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan keluarga remaja terbabit dan siasatan sedang dijalankan.

myMetro 1 Jan 2016


Remaja hilang, pergi bertapa

SIMPANG RENGGAM - Kehilangan seorang remaja di Kampung Batu 7, Block 3, dekat sini, terjawab apabila keluarganya menemui sepucuk surat ditinggalkan di biliknya sebelum menghilangkan diri, awal pagi Isnin lalu.

Ibrahim Abd Jamil, 61, menyedari anaknya, Muhd Azhari Ibrahim, 18,  atau Angah hilang selepas menyiapkan air mandi ibunya, Siti Hawa M Said, 47, yang sakit.

Menurutnya, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila panggilan telefon anak kedua daripada lima beradik itu kira-kira jam 7 pagi Isnin lalu tidak berjawab.

Namun katanya, hingga menjelang tengah hari, Angah masih tidak pulang ke rumah.

“Selalunya bila keluar, Angah akan balik sebelum Zuhur sebab akan azan di surau dekat sini, tapi hari itu dia tak pulang-pulang, telefon pun tak jawab.

“Bila petang, adiknya masuk bilik Angah dan terjumpa surat ditujukan untuk ibunya. Bila baca surat itu, baru kami tahu Angah keluar pergi bertapa di Gunung Ledang selama sebulan,” katanya ditemui, semalam.

Ibrahim berkata, anaknya merupakan seorang yang aktif dan baharu sahaja menamatkan pembelajaran dalam bidang kemahiran jahitan di Giat Mara Simpang Renggam pada 23 Disember lalu.

“Tindakan Angah ini seolah-olah diatur seseorang sehingga cepat sahaja dia tinggalkan Simpang Renggam. Selepas anak saya hilang, saya juga ada mencari dan bertanya di tempat belajarnya di Giat Mara.

“Kawan dia kata, sebelum tamat kursus jahitan minggu lepas, ada seseorang yang dikenalis ebagai Mustakim  menemui Angah.

“Saya percaya dia ahli kumpulan Tarikat Al Mut Mainnah. Saya juga percaya anak saya ini mengikuti kumpulan itu, tapi tak sangka dia mudah terikut sedangkan selama ini Angah sangat berhati-hati dalam bergaul,” katanya.

Tambah Ibrahim, pada malam sebelum anaknya menghilangkan diri, Angah ada menyatakan hasrat mahu ke Gunung Ledang.

Dia berkata, ketika itu isterinya tidak mengendahkan perkara itu kerana menganggap anaknya hanya bergurau.

“Saya sekeluarga berharap Angah pulang dan saya jika sesiapa ternampak anak saya ini terus hubungi saya di talian 014-6179921 atau hubungi balai polis berhampiran.

“Saya sudah buat laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam Isnin selepas kehilangan anak saya ini,” katanya.

 Sinar Harian 1 Januari 2016



0 comments:

Post a Comment