January 21, 2016

'Saya hiba ketika kutip cebisan daging atas jalan'

SUNGAI PANJANG - "Walaupun itu bukan anak saya, tapi perasaan saya hiba setiap kali saya kutip cebisan daging yang berselerakan atas jalan raya," luah seorang penduduk yang mengambil masa kira-kira lima minit mengumpulkan cebisan daging kaki seorang mangsa kemalangan di sini, petang tadi.

Jamalulail Md Alias, 52, berkata, dia dimaklumkan tentang kejadian itu salah seorang anaknya menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 3.15 petang.

"Anak hantar WhatsApp ada kemalangan dekat rumah. Tanpa berlengah saya terus ke tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang menetap di Parit 16 Sungai Panjang berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat pihak perubatan sedang melakukan bantuan kecemasan terhadap mangsa sambil dia terus mengutip daging bertaburan menggunakan kertas surat khabar.

"Saya masukkan daging yang dikutip ke dalam plastik. Masa tu saya tak fikir apa, melainkan dalam hati berdoa supaya dia (mangsa) selamat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, membonceng sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Dalam kejadian itu, Siti Nuraisyah putus kedua-dua kakinya selepas digilis sebuah lori, manakala kakak tirinya, S Shamim Amira Roslan, 14, mengalami kecederaan terseliuh kaki kanan dan kiri.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kedua-dua mangsa itu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Parit 16 Sungai Panjang.

"Sebelum kejadian, sebuah Perodua Kancil dipercayai memintas motosikal mangsa dari arah sama sebelum kedua-dua mangsa tergesel lalu terjatuh.

"Pelajar tingkatan satu terbabit jatuh ke tengah jalan sebelum sebuah lori dari arah bertentangan sampai di tempat kejadian lalu menggilis kaki mangsa , manakala kakaknya tercampak di kiri jalan," katanya.

Katanya, Siti Nuraisah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta pemandu Perodua Kancil dan lori serta saksi kejadian tampil menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 0332242613 bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan kes kemalangan itu dikendalikan Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 18 Jan 2016


Dia tanya, kaki boleh tumbuh lagi atau tidak

SHAH ALAM – “Alhamdulillah dia (Nuraisyah) mampu tersenyum walaupun soalan yang paling mengguris hati dia tanya kaki boleh tumbuh lagi atau tidak,” demikian ujar abang  Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang putus kedua-dua belah kaki akibat digilis lori, semalam.

Dalam kejadian tersebut, Siti Nuraisyah membonceng sebuah motosikal jenis Honda EX5 bersama kakak tirinya, S Shamim Amira Roslan, 14, tidak sempat mengelak sebuah kereta Perodua Kancil yang dikatakan bergesel dengan motosikal mereka, menyebabkan keduanya mengalami kemalangan akibat digilis lori.

Siti Nuraisyah kehilangan kedua kakinya, manakala kakak tirinya hanya mengalami terseliuh kaki kiri dan kanan apabila tercampak ke tepi jalan.

Memetik muat naik status Facebook abang Siti Nuraisyah, Huzaini Sahrin, Siti Nuraisyah sudah pun selamat menjalani pembedahan.

Bagaimanapun Huzaini tidak dapat memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku.

“Bagi anda yang nak tahu kejadian sebenar, boleh dapatkan maklumat di akhbar, maaf saya tidak dapat nak jelaskan apa yang berlaku.

“Diharap semua tanda tanya anda terjawab di akhbar. Terima kasih di atas doa dan kesudian anda mengambil berat tentang kami sekeluarga,” katanya lagi.

Siti Nuraisah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kedua-dua mangsa itu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Parit 16 Sungai Panjang.

"Sebelum kejadian, sebuah Perodua Kancil dipercayai memintas motosikal mangsa dari arah sama sebelum kedua-dua mangsa tergesel lalu terjatuh.

"Pelajar tingkatan satu terbabit jatuh ke tengah jalan sebelum sebuah lori dari arah bertentangan sampai di tempat kejadian lalu menggilis kaki mangsa , manakala kakaknya tercampak di kiri jalan," katanya.

Sinar Harian 19 Jan 2016


Saya nampak kaki adik digilis lori

SUNGAI PANJANG - "Saya nampak depan mata macam mana kaki adik digilis lori dan peristiwa itu amat mengerikan," kata kakak tiri mangsa, Shamim Amira Roslan, 14, selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Parit 16 Sungai Panjang hingga mengakibatkan adiknya,  Siti Nuraisyah Sahrin, 13, putus kedua-dua kaki.

Shahmim berkata, perasaannya sebak setiap kali mengenangkan kejadian kemalangan itu dan tidak menyangka adik tirinya itu nyaris terkorban akibat dirempuh lori membawa muatan pasir.

"Kejadian berlaku dalam sekelip mata. Masa tu saya sempat jerit panggil adik, adik. Lepas lori tu langgar, saya tergamam tapi dalam hati saya tak henti-henti doa supaya dia selamat," katanya kepada Sinar Harian.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap itu berkata, dia dan Siti Nuraisyah sempat membaca doa naik kenderaan sebelum bertolak dari sekolah untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Belia 2 Sungai Panjang.

"Syukur ALLAH masih sayangkan kami dua beradik, walaupun adik mengalami detik ngeri apabila kedua-dua kakinya putus. Alhamdulillah berkat baca doa kami berdua selamat dalam kejadian ni," katanya.

Shahmim memberitahu, dia tidak sabar untuk berjumpa dengan adik tirinya itu dan berharap agar Siti Nuraisyah segera sembuh.

"Saya harap dia kuat tempuhi dugaan ini. Kalau dia dah pulih, saya nak peluk dia erat-erat. Walaupun kami beradik tiri, tapi kami memang rapat antara satu sama lain," katanya.

Bapanya, Roslan Sardi, 40, berkata, dia tergamam sebaik mengetahui dua beradik tiri itu kemalangan selepas salah seorang jirannya datang ke rumahnya.

"Masa kejadian saya kat kebun cili. Saya terkejut apabila jiran kata dua anak saya kemalangan. Saya terus ke tempat kejadian dan terkejut tengok anak tiri dah terduduk dengan kedua-dua kakinya dah tak ada," katanya.

Roslan yang mengahwini ibu mangsa sejak 11 tahun lalu berkata, kejadian berlaku apabila dia dan keluarganya baharu sahaja berpindah dari Klang ke kampung itu kira-kira sebulan lalu.

Menurut Roslan, hubungan dia dan empat beradik mangsa amat akrab, malah hatinya tersentuh mengenangkan masa depan Siti Nuraisyah.

"Dia dilahirkan sihat, tiba-tiba jadi macam ni, tak boleh nak cakap apa dah. Saya hanya mampu  sedih dan menangis tengok keadaan dia macam tu," katanya.

Sinar Harian 19 Jan 2016


Pemandu lori dan kereta telah buat laporan polis

SABAK BERNAM - Pemandu lori pasir dan kereta masing-masing berusia 40 tahun yang terlibat dalam kemalangan di Parit 16, Sungai Panjang hingga mengakibatkan seorang pelajar tingkatan satu putus kedua-dua kaki membuat laporan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, pemandu lori itu membuat laporan polis pada jam 12.45 tengah malam semalam, manakala pemandu Produa Kancil pula pada jam 1.30 pagi, hari yang sama.

Menurut beliau, pemandu lori lelaki dari Tanjong Malim, Perak dan pemandu kereta wanita dari Parit 16 Sungai Panjang itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan mereka kemudiannya dibebaskan selepas polis merakamkan percakapan kedua-dua pemandu berkenaan.

"Selepas polis mengambil keterangan, kedua-duanya dibebaskan dan kita masih mencari beberapa saksi bagi membantu siasatan lanjut berhubung kemalangan ini.

Nor Azmi berkata, pegawai dan anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dijanga tiba pada jam 3.30 petang semalam bagi memeriksa dan mengesan bahan bukti pada tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

"Semua kenderaan terlibat juga akan dihantar ke Jabatan Kimia, Petaling Jaya esok (hari ini) bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, mangsa, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, membonceng sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Dalam kejadian itu, Siti Nuraisyah putus kedua-dua kakinya selepas digilis sebuah lori, manakala kakak tirinya, S Shamim Amira Roslan, 14, yang menunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan terseliuh kaki kanan dan kiri.

Nor Azmi berkata, kedua-dua mangsa itu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Parit 16 Sungai Panjang.

"Sebelum kejadian, sebuah Produa Kancil dipercayai memintas motosikal mangsa dari arah sama sebelum kedua-dua mangsa tergesel lalu terjatuh.

"Pelajar tingkatan satu terbabit jatuh ke tengah jalan sebelum sebuah lori dari arah bertentangan sampai di tempat kejadian lalu menggilis kaki mangsa , manakala kakaknya tercampak di kiri jalan," katanya.

Katanya, Siti Nuraisyah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Sinar Harian 19 Jan 2016


Siti Nuraisyah masih rasai kesakitan kemalangan

KLANG - Mak, Sakit... itu perkataan yang kerap keluar dari mulut Siti Nuraisyah Sahrin, 13, sejak dia ditimpa kemalangan ngeri Isnin lalu," demikian cerita ibunya Maimunah Md Razalli, 48.

Maimunah berkata, anak keempatnya yang dipanggil Isya itu berkali-kali memberitahu dia mengalami kesakitan teruk pada bahagian perut.

"Sudah beberapa hari dia tidak berak...kesian saya lihat dia.

"Setiap kali dia mengeluh kesakitan, tiap kali itulah air mata saya mengalir," ceritanya sebak sambil menyapu air matanya dengan hujung tudung yang dipakainya.

Menurutnya, setiap kali Isya menangis menahan kesakitan setiap kali itulah hatinya terasa pilu.

"Saya dan ahli keluarga tidak putus-putus berinya semangat dan dorongan.

"Saya nampak semangatnya begitu kuat, namun jauh di sudut hati...saya amat sedih dengan apa yang menimpanya," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Hadir sama, Mantan Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Kesihatan Malaysia yang juga ahli POKB, Tan Sri Farida Mohd Ali.

Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihak POKB akan menjadinya Siti Nuraisyah sebagai anak angkat POKB.

Pada lawatan itu juga, katanya, POKB turut menyerahkan sumbangan kecemasan berbentuk wang tunai termasuk hamper dan pelbagai barangan lain.

Sinar Harian 20 Jan 2016


Anak pemandu Perodua Kancil mohon henti fitnah

SUNGAI PANJANG - “Tolonglah jangan tuduh kami macam-macam. Hentikanlah fitnah ni! Kesian kat mak. Kami tak ada ayah, mana lagi, kami nak tumpang kasih, kalau mak pun tak ada,” luah anak sulung pemandu kereta Perodua Kancil, Mia (bukan nama sebenar), 24.

Mia meluahkan perasaan sedih selepas ibunya dikecam di media sosial selepas wanita berusia 40 tahun itu, terlibat dalam nahas di Parit 16 Sungai Panjang mengakibatkan pelajar tingkatan satu putus dua kaki.

Anak pertama daripada enam beradik itu berkata, kejadian itu memberi kesan mendalam terhadap mereka sekeluarga apabila ibunya dicemuh dengan kata-kata yang mengguris perasaan.

“Buat masa sekarang, tak payahlah tuduh sesiapa. Tunggu hingga siasatan selesai baru nak hentam siapa betul, siapa salah. Hormatilah perasaan kami sekeluarga. Adik-adik saya masih kecil lagi, tak tahu apa pun yang berlaku,” katanya.

Ibunya menggalas tanggungjawab besar apabila terpaksa menyara mereka sekeluarga selepas kematian bapanya, 14 tahun lalu.

“Selama ini, maklah yang didik dan sekolahkan kami dengan baik tanpa ayah. Dia besarkan kami dengan kudrat tulang empat kerat. Bila dah jadi macam ni, takkan nak diam diri, biarkan ibu seorang,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku ketika ibunya itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil pelajar di sebuah sekolah di sini.

Sinar Harian 21 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment