January 3, 2016

Rumah rosak, jalan merekah

Kesan akibat tanah runtuh di Kampung Bunga Rampai, Bau, malam tadi. FOTO ihsan pembaca

Bau: Empat rumah rosak, selain berlaku rekahan pada jalan raya akibat tanah runtuh di Kampung Bunga Rampai, di sini, kira-kira 8 malam tadi.

Difahamkan, keempat-empat rumah penduduk yang rosak di kampung terbabit terletak berdekatan kawasan tebing sungai dan di atas bukit.

Penduduk, Azfarina Mohammad, 28, berkata, kejadian berpunca daripada hujan berterusan sejak petang semalam dan ia bukan kejadian pertama berlaku di kampung terbabit.

"Kejadian sama pernah berlaku pada November lalu, namun tidak serius berbanding malam tadi sehingga rekahan pada jalan raya kira-kira sepanjang 50 meter.

"Kawasan tanah runtuh masih belum diselenggara sepenuhnya oleh pihak berkuasa, kecuali pasukan bomba yang memotong pokok di lokasi berhampiran kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.

Menurut Azfarina, penduduk kampung akan berdepan dengan risiko kejadian sama berulang jika hujan berterusan sekiranya tiada tindakan susulan diambil pihak berkuasa bagi menangani masalah itu.

myMetro 2 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment