January 18, 2016

Remaja, teman lelaki direman tujuh hari


Segamat: Remaja perempuan 17 tahun dan teman lelaki berusia 27 tahun direman tujuh hari ini bagi membantu siasatan kes penemuan bayi perempuan yang baru dilahirkan di Kampung Logah, Segamat, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi berkata, kedua-dua suspek ditahan beberapa jam selepas penemuan bayi berkenaan pada jam 1 pagi semalam.

Katanya, remaja perempuan berkenaan kini masih dirawat di Hospital Daerah Segamat (HDS) dan akan dibawa ke lokap sebaik keadaannya pulih.

"Manakala teman lelakinya ditahan di rumahnya di Jementah dekat sini kira-kira 6 petang semalam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran, katanya.

myMetro 17 Jan 2016


Ditemui tertiarap atas rumput

Segamat: Bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui atas rumput di belakang rumah di Kampung Logah, di sini, pagi ini.

Ketua kampung, Hassan Sitam, 66, berkata bayi seberat kira-kira dua kilogram itu ditemui tanpa pakaian serta tidak bertali pusat.

Katanya, kejadian itu disedari jirannya yang terdengar tangisan bayi di luar rumah, pada kira-kira 7 pagi.

"Bayi berkulit putih dan dalam keadaan tertiarap itu ditemui dengan mukanya disaluti lumpur serta rumput serta terdapat tompokan darah hitam di lokasi berkenaan.

"Laporan polis kemudian dibuat sebelum bayi itu di hantar ke Hospital Daerah Segamat (HDS)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro 16 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment