January 5, 2016

Remaja maut motosikal dirempuh kereta

MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunganginya dirempuh kereta di Kilometer 14.5 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa Mohamad Zulkanain Mohammad,19, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar dari arah belakang oleh kereta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, mangsa dirempuh ketika sedang membelok ke kanan jalan.

"Kereta yang dipandu seorang lelaki itu dalam perjalanan dari Sitiawan menuju ke Teluk Intan dan secara tiba-tiba mangsa yang berada di hadapan dipercayai mengubah laluan dari kiri ke kanan.

"Pemandu kereta tidak sempat mengelak kerana jarak yang sangat dekat dan melanggar bahagian kanan belakang motor yang ditunggang mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Chong berkata, akibat rempuhan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 3 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment