January 21, 2016

Remaja maut bergesel motosikal rakan

GUNUNG SEMANGGOL - Gara-gara bergesel dengan motosikal rakan, seorang remaja berusia 17 tahun maut tercampak ke pembahagi jalan setelah motosikal dinaiki terbabas di Kilometer 197 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran Bukit Merah, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 10.20 malam, pihaknya menerima laporan awam segera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca daripada pergeselan antara motosikal dinaiki mangsa dan motosikal rakannya.

“Kedua-dua motosikal jenis Honda Wave 125 yang ditunggang mangsa dan rakannya dikatakan hilang kawalan akibat berlaku pergeselan pada bahagian pemegang motosikal sebelum kedua-dua mereka terjatuh.

“Mangsa, Mohamad Fhirhan Md Padli, 17, dari Batu 6, Kuala Kurau tercampak ke arah pembahagi jalan sebelum maut di tempat kejadian.

“Sebaliknya, rakan mangsa, Nazrin Muhamad Ismail, 22, berasal dari Batu 8, Kuala Kurau tercampak ke laluan kecemasan dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada media di sini.

Omar Bakhtiar berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dikatakan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa yang berada pada lorong kanan sewaktu kejadian berlaku.

“Namun, pemandunya  berusia 35 tahun yang berasal dari Baling Kedah, bernasib baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat,” katanya.

Sinar Harian 19 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment