January 21, 2016

Remaja cederakan kakak, ugut ibu dan abang

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang remaja yang mencederakan kakaknya menggunakan topi keledar dan mengugut abang dan ibunya menggunakan pedang samurai kerana ibunya menyuruh makan nasi sebelum makan ubat, hari ini dibalas dengan hukuman menjalankan kerja khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh setahun.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Nizam Aqmal Rusli, 19, setelah tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan kakaknya, Nurul Atiqah, 27, menggunakan tangan dan topi keledar dan melakukan ugutan jenayah kepada ibunya, Rubiah Samin, 45, serta abangnya Noor Aliff Rusli, 24, November lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) mengikut Seksyen 293(1)(e) Kanun Tatacara Jenayah terhadap tertuduh kerana dia merupakan pesalah muda.

Remaja itu turut dikenakan empat syarat tambahan iaitu perlu menghadiri sesi kaunseling bersama keluarga setiap sebulan sekali, melapor diri di balai polis setiap sebulan sekali, menjalani ujian saringan air kencing secara rambang dan tidak boleh berada di luar kawasan kediaman dari pukul 12 tengah malam sehingga jam 6 pagi sepanjang tempoh setahun itu.

"Selepas mahkamah mempertimbangkan rayuan, mengambil kira laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, tidak ada sebarang rekod lampau dan melihat kepada sokongan keluarga, mahkamah percaya kesalahan pertama perlu diberi peluang kedua, mahkamah dengan ini menjatuhkan khidmat masyarakat 240 jam selama setahun bersama empat syarat tambahan," kata Nur'Aminahtul Mardiah.

Tertuduh juga dikenakan bon tanpa cagaran dengan RM1,000.

Remaja terbabit, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di rumah ibunya, Blok G2, Tingkat 1A, Balai Polis Kepong, di sini pada pukul 11.30 pagi, 11 November lalu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Mohamed Shamril Afzan Mohamed Hasim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat kerana tertuduh merupakan pesalah muda yang berusia 18 tahun ketika kejadian.

"Tertuduh juga benar-benar insaf dan menyesali perbuatannya disebabkan perasaan marah yang tidak dapat dikawal. Peluang perlu diberikan untuk masa depan dan tertuduh berjanji tidak akan mengulangi apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang," hujahnya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memberitahu ibunya bahawa dia sakit gastrik dan ingin makan ubat namun ibunya menyuruh tertuduh makan nasi terlebih dahulu bagaimanapun tertuduh enggan dan bertindak menyepahkan makanan.

Kakak dan abang tertuduh yang melihat tindakan itu kemudian menegur tertuduh menyebabkan tertuduh berang dan bergelut dengan kakaknya.

Tertuduh juga telah mengugut dengan cara menakutkan ibu dan abangnya menggunakan pedang samurai milik arwah bapanya. - Bernama

20 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment