January 5, 2016

Remaja 19 tahun terbabit 4 kes jenayah

ANTARA barang yang ditemui dalam kereta suspek kes samun bersenjata.

Kajang: Usia baru mencecah 19 tahun namun seorang remaja lelaki sudah berani melakukan ‘4 jenayah dalam 1’ membabitkan samun, pecah rumah, curi kereta dan dadah.

Remaja itu bagaimanapun berjaya diberkas sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ketika pergi ke rumah rakannya di Taman Maju, di sini, jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Jurucakap polis berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui kunci kereta yang pernah dilaporkan dicuri sebelum ini.

“Suspek kemudian membawa polis ke Jalan Anggerik Perdana di sini, sebelum menunjukkan kereta model Honda Civic berwarna hitam.

“Semakan ke atas kenderaan itu mendapati ia dilaporkan hilang pada 10 Disember lalu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui dua parang panjang diselitkan di tepi pintu hadapan penumpang kenderaan itu.

“Selain itu, polis turut merampas sebatang besi kuku kambing di bawah tempat duduk hadapan penumpang kenderaan.

“Selain itu polis turut menemui lima topeng muka di bawah tempat duduk pemandu kereta itu,” katanya.

Abdul Ghani berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes samun, pecah rumah dan mencuri kenderaan di kawasan Kajang, Shah Alam, Serdang, Selangor dan Mantin Negeri Sembilan.

“Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke Jalan J Avenue, Cheras sebelum menunjukkan sebuah kereta model Toyota Camry yang pernah dicuri di Sri Muda, Shah Alam,” katanya.

myMetro 5 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment