January 23, 2016

Pulang untuk teman ibu

Hasnah (tiga, kiri) bersama ibunya yang terlantar sakit di Felda Bukit Jalor, di sini sejak beberapa tahun lalu.

GEMENCHEH – Demi kasih kepada emak, seorang anak sanggup pulang dan menetap terus di kampung halamannya di Felda Bukit Jalor, di sini, bagi menemani ibunya, Saodah Raon, 75, setelah kematian bapa beberapa tahun lalu.

Hasnah Ahmad, 54, berkata, ibunya itu bukan hanya dianggap sebagai insan yang banyak berkorban melahirkan dan membesarkannya, bahkan juga teman setia yang sentiasa bersedia berkongsi masalah.

Menurutnya, setelah kematian arwah ayahnya, Ahmad Bidor yang ketika itu berusia 75 tahun, ibu telah memintanya untuk terus menetap di kampung menemaninya menghabiskan usia tua di rumah sendiri.

“Jadi, saya dan suami, Abdul Rahman Shari, 53, pulang ke kampung bersama seorang lagi anak saya yang masih bersekolah. Dulu kami tinggal di Seremban dan berniaga secara kecil-kecilan.

“Selepas berpindah ke kampung, kami masih berniaga secara kecil-kecilan di sini bagi menampung pendapatan. Kami tidak mahu hanya berharap kepada bantuan sara diri RM750 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena Program Jalinan Kasih Persatuan Sukarelawan Tampin (PST) di Felda Bukit Jalor, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi PST Baharudin Rashid.

Sementara itu, Hasnah berkata, keputusan yang dibuatnya bersama suami untuk pulang ke kampung halaman itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri apabila emaknya tiba-tiba terlantar sakit selepas terjatuh di dalam bilik air pada Disember 2014.

Menurutnya, sejak peristiwa itu, mereka suami isteri bergilir-gilir menjaga emaknya yang sepenuhnya memerlukan bantuan kerana terlantar dan memakai lampin pakai buang.

“Setiap empat jam sekali saya akan beri emak susu khas seawal jam 4 pagi ikut nasihat doktor. Buat masa ini, kami adik-beradik guna wang sedia ada bagi uruskan perbelanjaan mak melebihi RM400 sebulan.

“Malah, kami juga baru sahaja membuat permohonan bantuan bulanan buat mak beberapa bulan lalu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban kewangan kami,” katanya.

Pada program itu, Baharudin menyampaikan bantuan berupa makanan keperluan harian, lampin pakai buang dan wang tunai kepada keluarga yang dilawati.

Sinar Harian 23 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment