January 13, 2016

Polis kenal pasti identiti mangsa

Sebuah kereta jenis Toyota Corolla remuk teruk selepas bertembung dengan lori tanpa muatan di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan semalam. Gambar kecil: Zulikhsan

MENTAKAB - Polis sedang mengenalpasti pemilik Mykad dan identiti seorang wanita yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 137 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di sini awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, kejadian pada jam 5.20 pagi di kawasan perindustrian Temerloh, Mentakab itu membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan lori.

Menurutnya, pemandu kereta, Zulikhsan Mat Jani, 36, yang beralamat di Felda Jengka 21, Bandar Jengka dan seorang penumpang wanita meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu dan tempat duduk penumpang hadapan.

“Bomba Mentakab yang menerima maklumat kejadian mengerahkan enam anggota termasuk seorang pegawai mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Bomba menggunakan alat pemotong bagi mengeluarkan mayat mangsa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menuju ke Temerloh bertembung dengan sebuah lori tanpa muatan.

Katanya, pemandu lori terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Wanita yang maut itu belum diketahui identitinya kerana polis tak jumpa sebarang dokumen pengenalan diri atau beg pada mayatnya.

“Bagaimanapun polis terjumpa satu Mykad milik seorang lelaki di dalam kenderaan itu,” katanya.

Zundin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan akan mengenal pasti pemilik Mykad  serta identiti wanita terbabit.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment