January 13, 2016

Polis jejak suspek kes buang di dalam loji

LABUAN - Polis sedang menjejaki seorang wanita dipercayai ibu kepada janin yang dibuang di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Mutiara, Sg. Bedaun di sini semalam.

Janin perempuan berusia kira-kira empat atau lima bulan dan masih bertali pusat itu ditemui pekerja IWK yang melakukan kerja pembersihan penapis kira-kira
11.35 pagi semalam sebelum memaklumkan kepada penyelianya dan polis.

Pemangku Ketua Polis Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata siasatan sedang dijalankan dan beliau meminta orang ramai tampil membuat laporan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

"Ini mungkin kes menggugurkan kandungan. Kami telah hantar janin itu untuk bedah siasat dan kini siasatan dimulakan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata pihaknya percaya bayi pramatang itu ditinggalkan di loji kumbahan lebih dari tempoh 24 jam memandangkan kerja penyenggaraan terakhir
dilakukan pada 8 Januari.

"Sehingga kini tiada tangkapan dibuat. Kami percaya suspek bertanggungjawab dalam kes ini mungkin tinggal di perumahan kos rendah dan sederhana," katanya.

Mohd Ibrahim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi. -Bernama

12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment