January 23, 2016

Peperiksaan terganggu akibat panggilan bom palsu


Penuntut dan kakitangan universiti swasta di Mutiara Damansara terpaksa keluar selepas menerima panggilan bom palsu. FOTO Zulfadli Zulkifli

Petaling Jaya: Akibat panggilan bom palsu, perjalanan peperiksaan universiti swasta di Kota Damansara, di sini, hari ini, terganggu apabila penuntut terpaksa keluar dari universiti itu sebagai langkah keselamatan.

Kira-kira 2,000 penuntut dan kakitangan universiti itu diarahkan keluar ke tempat selamat selepas menerima panggilan mengenai bom pada 10.10 pagi tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima aduan daripada kakitangan universiti berkenaan yang menerima panggilan daripada individu yang mendakwa seorang lelaki meletakkan bom di dalam tandas.

Katanya, ketika kejadian penuntut universiti berkenaan sedang menduduki peperiksaan.

"Penuntut dan kakitangan universiti terbabit diarahkan keluar sebagai langkah keselamatan.

"Unit Pengesan Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor membuat pemeriksaan di seluruh banggunan universiti berkenaan termasuk tandas yang dimaklumkan ada bom.

"Pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan seperti yang dilaporkan sehinggalah operasi dihentikan pada 2.30 petang dan semua dibenarkan masuk ke universiti semula," katanya ketika ditemui.

Mohd Zani memaklumkan pihaknya sudah mengambil keterangan daripada kakitangan universiti berkenaan berkaitan panggilan yang diterima itu.

Katanya, pihaknya akan menjejaki individu yang membuat panggilan berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

myMetro 22 Jan 2016


0 comments:

Post a Comment