January 27, 2016

Penuntut Malaysia di London maut dilanggar kereta api

Muhamad Aaron maut dilanggar kereta api. FOTO ihsan TV3

Kuala Lumpur: Penuntut Malaysia di London maut dilanggar kereta api bawah tanah di Stesen Marble Arch, pada 6.00 petang semalam waktu tempatan.

Muhamad Aaron Maseri, 22 tahun, pelajar tahun akhir di Universiti Middlesex itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dari universiti.

Portal Evening Standard melaporkan, kejadian diklasifikasikan sebagai kemalangan dan tiada unsur mencurigakan berdasarkan siasatan polis.

Seorang saksi kejadian memberitahu kereta api itu berhenti secara mendadak sebelum dia melihat pemandu kereta api itu dalam keadaan ketakutan.

Saksi memberitahu, beberapa penumpang berada di luar kereta api berlari keluar untuk melihat kejadian itu.

Mereka diarah meninggalkan lokasi sebaik pasukan paramedik tiba untuk memberi bantuan.

Menurutnya, laluan kereta api itu dibuka dan beroperasi seperti biasa untuk laluan antara Holborn dan White City selepas tergendala beberapa jam.

myMetro 26 January 2016


Pelajar Malaysia maut dilanggar tren di London

Pelajar Middlesex University, Muhamad Aaron Maseri maut dilanggar tren bawah tanah di London. - Foto NSTP

LONDON -  Seorang pelajar Malaysia maut selepas dilanggar tren bawah tanah di stesen Marble Arch, di sini, pada petang Isnin.

Dalam kejadian itu jam 6.26 petang, Muhamad Aaron Maseri, 22, pelajar Universiti Middlesex, dilaporkan dilanggar tren ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di laluan Central ketika waktu puncak, lapor BH Online.

Mengikut laporan akhbar The Standard, jurucakap Pengangkutan London, berkata mangsa masih hidup sejurus dilanggar namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba bagi merawat mangsa.

Kejadian itu juga turut menyebabkan beberapa perjalanan tren ditangguhkan bagi membolehkan pihak bomba dan polis menjalankan siasatan di lokasi berkenaan.

Sementara itu, pihak Polis Trafik British, berkata hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kemalangan.

Akhbar itu juga memetik kenyataan seorang saksi, Chris Green yang berada dalam tren berkenaan berkata beliau mendengar pemandu membunyikan hon sebelum tren berkenaan diberhentikan secara tiba-tiba.

"Saya melihat melalui cermin tingkap dan melihat ramai orang berlari ke arah laluan keluar platform," katanya.

Katanya, beliau dan penumpang lain diarah keluar daripada stesen berkenaan bagi membolehkan pasukan paramedik menjalankan tugas menyelamat mangsa.

Setakat ini, ibu bapa mangsa yang sedang berada di London, bagi menghadiri majlis konvokesyen abangnya juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Jenazah yang kini ditempatkan di rumah mayat Westminster untuk proses bedah siasat dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada Khamis ini.

Sinar Harian 26 Januari 2016


Pelajar Malaysia maut dilanggar kereta api bawah tanah

Muhamad Aaron (kiri) meninggal dunia selepas dilanggar kereta api bawah tanah petang tadi. - Foto: Kelab UMNO London

LONDON – Seorang pelajar Malaysia meninggal dunia selepas dilanggar kereta api bawah tanah (TUBE) di Stesen Marble Arch di sini pada pukul 6 petang tadi waktu tempatan.

Muhamad Aaron Maseri, 22, pelajar tahun akhir di Universiti Middlesex itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari universiti ke rumahnya. Difahamkan, beliau seorang diri semasa kejadian.

Memetik laporan akhbar Evening Standard, ambulans dan bomba tiba di stesen berkenaan pada pukul 6.26 petang.

Pihak polis masih belum mengesahkan bagaimana kemalangan tersebut berlaku, namun tidak menyifatkannya sebagai sesuatu yang mencurigakan.

Ibu dan bapa Muhamad Aaron berada di London untuk menghadiri konvokesyen abangnya Khamis ini dan mereka telah dimaklumkan mengenai nahas tersebut lewat malam ini.

Bedah siasat ke atas jenazah Muhamad Aaron akan dijalankan hari ini.

Sementara itu, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London sedang berusaha membantu keluarga mangsa. - K! ONLINE

Kosmo 26 Jan 2016


Semoga roh Muhamad Aaron dicucuri rahmat

Putrajaya: Jenazah penuntut Malaysia, Muhamad Aaron Maseri, 22, yang maut selepas dilanggar tren bawah tanah di London, United Kingdom pada 26 Januari lalu selamat tiba di Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi tadi.

Jenazah Muhamad Aaron tiba di KLIA dengan pesawat Malaysia Airlines Bhd kira-kira 7.18 pagi dari Heatrow, London.

Dalam kejadian kira-kira 6.26 petang waktu London itu, Muhammad Aaron dilanggar tren bawah tanah di stesen Marble Arch ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di laluan Central.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA untuk disembahyangkan sebelum di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk dikebumikan.

Solat jenazah diimamkan oleh Imam 4, Masjid Sultan Abdul Samad Ustaz Ismail Morodzi.

Turut mengiringi jenazah, ibu dan bapa arwah, Folziah Jamal dan Maseri Idris.

myMetro 3 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment