January 13, 2016

Peniaga warung rugi RM20,000


Azliza (berdiri) melihat barangan perniagaannya yang hangus dalam kebakaran warung di Kampung Teko 2, Pantai Kandis dekat Bachok semalam.

BACHOK – Seorang peniaga bukan sahaja hilang punca pendapatan malah rugi RM20,000 selepas warung miliknya musnah dalam kebakaran di Kampung Teko 2, Pantai Kandis dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu menyebabkan peralatan memasak serta perkakasan elektrik seperti televisyen, projektor dan set peralatan audio yang terdapat di warung tersebut hangus.

Pemiliknya, Azliza Yusoff, 37, berkata, selain kerugian harta benda, dia juga terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM10,000 yang perlu dibayar secara ansuran pada setiap minggu.

“Pada pukul 6.30 pagi, saya berada di warung untuk mengemas sebelum menutupnya semula pada pukul 9.25 pagi untuk ke Pasar Borong, Kuala Besut, Terengganu bagi mendapatkan bekalan jualan.

Kosmo 12 Jan 2016


Warung hangus sekelip mata

BACHOK - Seorang peniaga wanita di Kampung Teko 2, Kandis dekat sini kerugian lebih RM30,000 apabila warung makanan tepi pantai yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu musnah dalam kebakaran pada jam 9.30 pagi, kelmarin.

Azliza Yusoff, 37, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan penjaga rumah rehat berdekatan warungnya selepas beberapa minit dia meninggalkan premis tersebut.

Sebelum itu katanya, dia telah ke warung pada jam 6.30 pagi untuk mengemas dan menyapu sehingga jam lebih kurang 9 pagi.

“Saya datang awal sebab sambil hantar anak ke sekolah saya terus ke warung untuk kemaskan barang dan sapu lantai mana yang patut. Lepas tu, lebih kurang jam 9.20 pagi saya bergerak ke Besut untuk beli barang keperluan berniaga.

“Tapi saya tak sempat sampai ke sana sebab penjaga rumah rehat telefon dan beritahu warung saya terbakar. Saya patah balik dan tengok hampir semuanya dah hangus. Bomba ketika itu sedang padamkan api yang bersisa," katanya menceritakan detik cemas berkenaan.

Antara barangan yang hangus dalam insiden berkenaan termasuk perkakasan memasak, barangan elektrik seperti televisyen, projektor dan set peralatan audio.

"Buat masa ni saya buntu. Saya buntu memikirkan macam mana cara nak bangkit memulakan perniagaan... memandangkan perniagaan ni dulu pun saya dengan hasil pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Kini dia masih berhutang RM10,000 dengan AIM dan tidak tahu bagaimana untuk membayar ansuran mingguan seperti ditetapkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (PJKKKP) Kandis, Mohd Subri Mohamed berharap bantuan segera dapat diberikan pihak kerajaan berkaitan tidak kira negeri atau persekutuan bagi membantu Azliza memulakan kembali perniagaannya.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Mazdan Jusoh bersama 14 anggotanya tiba di lokasi kejadian pada jam 10.05 pagi.

Katanya, bomba menerima panggilan awam pada jam 9.51 pagi dan gegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati kebakaran gerai makan dan minuman jenis sementara berkeluasan 15x18x10 kaki dengan kemusnahan 100 peratus.  Gerai tersebut menempatkan perkakasan memasak, barangan elektrik dan ruang rehat. Ketika kami tiba, api sedang marak, berangin serta cuaca panas," katanya sambil memberitahu api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.23 pagi.

Sinar Harian 12 Januari 2016


0 comments:

Post a Comment