January 1, 2016

Pemandu rentung, 21 penumpang cedera

Keadaan bas dan Perdua MyVi yang musnah terbakar. - Foto Ihsan Bomba

Anggota bomba melakukan kerja memadam bas yang terbakar. - Foto Ihsan Bomba

Batu Pahat: Seorang pemandu maut apabila rentung dalam keretanya manakala 21 penumpang bas ekspres cedera selepas kedua-dua kenderaan itu bertembung sebelum terbakar di Kilometer 124.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Yong Peng kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Mohd Lazim Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.53 malam.

Menurutnya, setiba di lokasi, pihaknya mendapati bas ekspres dan kereta Perodua MyVi terbakar dengan api sudah merebak hampir keseluruhan kedua-dua kenderaan.

"Penumpang terdiri daripada 14 lelaki dan tujuh perempuan sempat menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan.

"Bagaimanapun, lelaki yang memandu Produa MyVi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sehingga kini operasi pemadaman masih dijalankan," katanya.

myMetro 31 Disember 2015


Cari waris mangsa nahas dekat Yong Peng

KEADAAN bas ekspres dan kereta yang rentung dalam kemalangan. Foto ihsan Bomba

Batu Pahat: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa kemalangan yang rentung di Kilometer 124.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Yong Peng, malam tadi supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendant KS Mender Singh berkata, sehingga kini usaha bagi mengenal pasti identiti pemandu Perodua Myvi itu sedang dilakukan berdasarkan alamat pendaftaran kenderaan.

"Pemeriksaan rekod mendapati pemilik kereta dengan nombor pendaftaran WA 9599 B itu adalah milik Regina Anak Ribau, 34, yang beralamat di Nombor 32 Jalan Laksamana 10, Taman Tunku Aminah, Johor Bahru.

"Bagaimanapun kami mendapati waris di alamat pendaftaran kereta berkenaan sudah berpindah danusaha mengesan ahli keluarga mangsa giat dijalankan.

Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi terus Inspektor Asrar Mohd Amin di talian 019-5701619 atau di balai berhampiran.

Menurutnya mangsa sudah diserahkan ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI)untuk proses bedah siasat.

myMetro 1 Jan 2016


Siapa Regina Ribau?

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran pada bas dan kereta yang terbabit dalam nahas, kelmarin.

Batu Pahat: Polis masih lagi mengesan waris pemandu kereta yang rentung dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 124.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Yong Peng, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, mangsa yang maut masih belum dikenal pasti identitinya walaupun semakan ke atas nombor pendaftaran kereta Perodua Myvi itu milik Regina Ribau berusia 34 tahun.

Menurutnya, sehingga jam 6 petang semalam identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan segala dokumen pengenalan diri turut hangus dalam kejadian berkenaan, malah usaha menghubungi waris tidak berhasil.

“Pemeriksaan rekod mendapati pemilik kereta bernombor pendaftaran WA 9599 B itu beralamat di Nombor 32 Jln Laksamana 10, Taman Tunku Aminah, Johor Bahru.

“Bagaimanapun kami mendapati waris di alamat pendaftaran kereta berkenaan sudah berpindah dan usaha mengesan ahli keluarga mangsa giat dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi terus Inspektor Asrar Mohd Amin di talian 019-5701619 atau di balai berhampiran.

Menurutnya mangsa sudah diserahkan ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat dan kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, kereta dipandu mangsa terbakar selepas berlanggar dengan bas ekspres yang membawa 21 penumpang.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan menuju ke Yong Peng secara tiba-tiba memasuki lorong kiri hingga menyebabkan bas yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak lalu menghentam kenderaannya.

Akibat pelanggaran itu kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan sebelum seluruh bahagian Myvi dan bas itu dimamah api.

Pemandu Myvi disahkan maut akibat rentung manakala 21 penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.

myMetro 2 Jan 2016







0 comments:

Post a Comment