January 2, 2016

Padah pukul isteri guna penyapu

KUALA KRAI - Seorang lelaki dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Krai selepas didapati bersalah memukul isterinya dengan penyapu gara-gara enggan melihat punca gatal di kepalanya.

Hukuman ke atas tertuduh  Mohd Zulkifli Mohd Nor, 33, diputuskan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut fakta pertuduhan, Mohd Zulkifli melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah sementara penempatan banjir, Kampung Dabong Hilir pada 13 Disember lalu.

Tertuduh melakukan perkara tersebut setelah bertengkar dengan isterinya yang enggan melihat kepalanya yang gatal pada ketika itu.

Kesan pukulan tersebut menyebabkan Isteri tertuduh mengalami cedera lebam di mata dan pinggang. Hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa semalam.

Sementara itu, di mahkamah sama, Muhamad Hafiz Mohamed Yaacob, 26, dihukum penjara tujuh bulan kerana mengugut ibunya sendiri.

Tertuduh dituduh mengugut ibunya dengan sebilah parang kerana enggan memberikannya wang di sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chenulang, 19 November lalu.

Sinar Harian 31 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment