January 3, 2016

Niat baik dibalas beluti

ISMAIL terlantar di rumah akibat kecederaan dialami.

Kota Tinggi: “Saya dipukul bertalu-talu menggunakan kayu beluti dan terbaring hampir 30 minit akibat dibelasah dengan teruk,” dakwa lelaki Rohingya, Ismail Ayub Khan, 34, selepas menjadi mangsa culik di ladang sawit berdekatan Taman Pasak Indah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Ismail patah kedua-dua kaki, bahu kanan, lebam di badan dan menerima lima jahitan akibat diketuk di kepala oleh dua lelaki warga Bangladesh ketika menghantar kedua-duanya di ladang sawit berdekatan Taman Pasak Indah, di sini.

Dia bagaimanapun bernasib baik apabila diselamatkan polis selepas dua jam aduan kehilangannya dibuat ahli keluarga yang diugut supaya menghantar wang tebusan berjumlah RM5,000 serta barangan kemas.

Menceritakan kejadian itu, Ismail berkata, dia yang selesai membeli barangan dapur di pasar raya di bandar ini dihampiri dua lelaki Bangladesh jam 8 malam sebelum meminta menghantarnya di ladang sawit.

“Ketika itu kedua-dua lelaki berkenaan merayu dan meminta saya menghantar mereka ke Taman Pasak Indah kerana tiada teksi pada waktu malam.

“Saya bersetuju menumpangkan mereka dan memandu Proton Wira ke ladang sawit di belakang sebuah projek perumahan baru,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Aman, di sini, semalam.

Katanya, tiba-tiba seorang daripada lelaki itu meminta berhenti dan masuk ke kawasan ladang untuk mengambil sesuatu.

“Bimbang dengan keselamatan diri, saya ambil keputusan keluar dari kereta dan lari, namun terjatuh ke dalam parit. Ketika itu, seorang lelaki memukul saya dengan beluti,” katanya.

Katanya, dua lelaki itu mengheretnya ke kereta dan meminta kad mesin juruwang automatik (ATM).

“Saya mengatakan tidak mempunyai wang menyebabkan mereka mengancam mahu membunuh saya.

“Saya berikhtiar dengan memberikan alasan isteri mempunyai barangan kemas dan boleh mendapatkan daripadanya,” katanya.

Dia berkata, dia menelefon isterinya jam 9 malam, selain wang tebusan diminta dikurangkan daripada RM10,000 kepada RM5,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman ketika dihubungi mengesahkan kes penculikan itu.

Katanya, dalam kejadian itu, lelaki Rohingya itu diselamatkan polis yang menyamar pemandu teksi dengan membawa anak mangsa berusia 11 tahun bagi membayar wang tebusan RM5,000 serta barangan kemas.

“Dua anggota polis yang menyamar pemandu teksi menahan penjenayah sebelum seorang daripadanya dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

“Polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas manakala mangsa dirujuk ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

myMetro 3 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment