January 22, 2016

Melambung atas lori


KEADAAN motosikal mangsa yang remuk selepas bertembung dengan lori dalam kemalangan di Kilometer 11.2, Jalan Taiping Selama.

Taiping: “Saya terkejut apabila lori dipandu dirempuh motosikal dari arah bertentangan yang memasuki laluan saya sebelum lelaki yang menunggang motosikal itu melambung atas cermin depan lori,” kata Muhamad Sabri Mat Isa, 34, selepas lori dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan motosikal Modenas Kriss, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang di Kilometer 11.5, Jalan Taiping Selama, penunggang motosikal berusia 50-an itu bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan.

Menurutnya, dia masih terkejut apabila melihat lelaki itu betul-betul melambung atas cermin depan lorinya dan berharap kecederaan dialami lelaki itu tidak serius.

“Saya juga bersyukur tidak mengalami kecederaan dan penunggang motosikal itu terselamat serta hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Batu Kurau dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentang lalu bertembung dengan lori berkenaan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan.

“Kes disiasat mengikut Rule 10, Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 22 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment