January 18, 2016

Lori hantu dipercayai dicuri sebelum kejadian

Keadaan kawasan kemalangan maut membabitkan lori hantu di hadapan SMK Bandar Damai Perdana. FOTO Asyraf Hamzah

Kajang: Lori hantu yang merempuh 37 kenderaan serta menyebabkan dua pelajar perempuan berusia 13 tahun maut di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, Kajang, semalam dipercayai dicuri sebelum kejadian.

Difahamkan, pemandu lori warga Indonesia berusia 39 tahun itu sedang makan di gerai berhampiran sekolah berkenaan sebelum menyedari lorinya dicuri seorang lelaki.

Menurut sumber, lelaki yang mencuri lori itu gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh 37 kenderaan di depan sekolah berkenaan.

Katanya, selepas itu, lelaki terbabit melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard ketika dihubungi berkata, pihaknya giat memburu suspek utama yang menyebabkan kemalangan maut itu.

“Pemandu lori berkenaan sudah menyerah diri di balai polis dan direman sehingga 21 Januari ini. Kita masih memburu suspek yang mencuri lori itu,” katanya.

myMetro 15 Jan 2016


Sedih, Trauma...

Pelajar melihat lokasi kejadian kemalangan membabitkan lori hantu yang mengorbankan dua pelajar di hadapan SMK Bandar Damai Perdana. FOTO Asyraf Hamzah

Kajang: "Alangkah terkejutnya saya apabila ternampak dua kaki manusia di bawah van yang sudah remuk.

“Tidak tergambar perasaan saya ketika itu. Saya sedih dan trauma, apatah lagi saya mengenali remaja itu dan selalu bertegur sapa," kata suri rumah, K Vikneswary, 36, yang menyaksikan kemalangan ngeri di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari, pelajar perempuan sekolah itu, Wong Siow Xuen dan Lau Zi Xin, masing-masing berusia 13 tahun maut di tempat kejadian selepas lori hantu merempuh 37 kenderaan menyebabkan mereka tersepit.

Menurut Vikneswary, sehingga kini masih terngiang-ngiang di ingatan keadaan mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu.

“Pada hari Rabu, saya nampak dua budak perempuan itu di pasar berjalan sebelah saya dan kami bertegur sapa.

"Tapi hari ini mereka yang juga anak kawan saya sudah tiada," katanya sebak.

Sementara itu, pemandu teksi, T. Krishnan, 48, terpaksa membatalkan perayaan Ponggal yang sepatutnya diadakan hari ini bagi menghormati kejadian yang berlaku di depan matanya itu.

"Saya sudah cancel (batalkan) Ponggal, sebab kejadian sedih begini memang tidak elok kami raikan Ponggal yang sepatutnya diadakan di kawasan ini.

"Tidak mengapalah, kami boleh raikannya hari lain kerana semua penduduk yang berbilang kaum di sini sangat sedih dengan kejadian ini," katanya.

Ketika ditemui di tempat kejadian pagi tadi, dia mengakui belum tidur sejak semalam kerana masih terbayangkan kejadian itu.

Kakitangan awam, Mohd Afiq Hakimi Mohd Sofian, 21, pula berkata, ketika kejadian dia sedang menunggu adiknya tamat sesi persekolahan sesi pagi di tepi jalan apabila melihat lori berkenaan bergerak laju.

"Lori itu memang laju dan kemudian melanggar kereta Toyota Avanza, motosikal saya pun nyaris dilanggar dan saya memang tak boleh nak ingat semula.

"Memang trauma sangat dan saya anggap ini paling ngeri dalam hidup saya sebab saya tidak pernah berdepan pengalaman seperti ini di depan mata,” katanya.

Dia sempat membantu seorang mangsa wanita yang parah apabila tersepit di dalam kereta Proton Wira, namun tidak sanggup untuk melihat mayat kedua-dua mangsa yang maut.

Sehubungan itu, mereka berpendapat bahawa siasatan secara terperinci perlu dilakukan supaya kejadian ini tidak berulang termasuk melarang jalan berkenaan daripada dilalui kenderaan berat.

Dalam pada itu, tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati, kesan kemalangan dapat dilihat dengan jelas termasuk serpihan cermin dan kenderaan yang terlibat bertaburan di tepi jalan.

Paling menyedihkan apabila melihat beberapa pasang kasut sekolah terbiar di tempat kejadian dipercayai milik mangsa dan payung gerai yang sudah roboh terperosok di dalam longkang.

Menurut wakil sekolah yang enggan dikenali, sekolah berkenaan yang beroperasi sejak 2003 mempunyai lebih 2,000 pelajar, terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Sejak dua tahun lalu, pihak sekolah mengambil inisiatif membina penghadang jalan apabila menyedari risiko yang dihadapi pelajar walaupun hanya beberapa kejadian kemalangan kecil berlaku sebelum ini.

Ia disebabkan keadaan jalan yang berbukit dan turut menjadi laluan kenderaan berat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard ketika dihubungi berkata, pemandu lori berkenaan menyerah diri di balai polis.

"Pemandu lori warga Indonesia berusia 39 tahun yang terbabit dengan kemalangan itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 Januari.

"Bagaimanapun, polis masih menyiasat dan mencari suspek utama yang menyebabkan kemalangan maut itu," katanya.

Menurutnya, saksi yang berada di tempat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

"Orang awam yang melihat kejadian berkenaan boleh tampil ke balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk memberi keterangan kepada pegawai penyiasat," katanya.

myMetro 15 Jan 2016




0 comments:

Post a Comment