January 2, 2016

Lelaki maut ketika beriadah di Gunung Jerai

Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa dari cerun.

Mangsa tergelincir ke dalam cerun setinggi 15 meter.

Mangsa terjatuh di kawasan cerun ketika bersiar-siar di kawasan tersebut.

YAN - Kegembiraan enam sekeluarga beriadah di tapak perkhemahan di Taman Rimba Gunung Jerai di sini hari ini bertukar tragedi selepas salah seorang daripada mereka maut dipercayai tergelincir di kawasan cerun bukit di situ.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Ishak Ibrahim, 52, dari Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan dari kawasan cerun setinggi 15 meter itu oleh pasukan penyelamat.

Isteri mangsa, Hafizah Osman, 45, berkata, mereka sekeluarga disertai seorang jirannya tiba di kawasan rekreasi itu sekitar pukul 3 petang selepas bertolak dari Pulau Pinang selepas solat Jumaat.

"Sebaik tiba, kami berehat di salah sebuah pondok yang disediakan di tapak perkhemahan untuk berehat dan menjamu selera.

"Tidak lama kemudian suami bangun dan memberitahu mahu berjalan-jalan di sekitar kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Yan di sini hari ini.

Tambah Hafizah, selepas hampir setengah jam menunggu dia berasa tidak sedap hati sebelum membuat keputusan untuk mencarinya di sekitar kawasan iti bersama anak-anak.

"Saya hampir pitam apabila melihat salah seorang anak beritahu suami terjatuh di kawasan cerun di situ dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak.

"Disebabkan bimbang dengan keselamatannya saya telah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang datang melakukan operasi menyelamat.

"Selepas suami berjaya dikeluarkan baru saya diberitahu dia telah meninggal dunia akibat kecederaan parah," ujarnya. - K! ONLINE

1 Jan 2016


Ajal terjatuh dari cerun bukit

Gurun: Lelaki berusia 52 tahun maut selepas terjatuh dari cerun bukit setinggi 15 meter berdekatan tapak perkhemahan Taman Rimba, Gunung Jerai, di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 4 petang dan mangsa dikenali sebagai Ishak Ibrahim berasal dari Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak Penolong Penguasa Bomba Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 4.32 petang dan seramai lapan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati seorang lelaki terjatuh dari cerun bukit dan meninggal dunia.

"Usaha mengeluarkan mangsa dari cerun mengambil masa lebih satu jam sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

myMetro 1 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment