January 13, 2016

Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh dari jeti

Selipar mangsa di Jeti Bagan Datoh. - Foto Sinar Harian

BAGAN DATOH - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Perak dari Jeti Bagan Datoh jam 8.50 malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Bagan Datoh, Mohd Zaidi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.10 malam tadi daripada seorang anggota Rela memaklumkan kejadian tersebut.

"Berdasarkan maklumat yang diterima mangsa Mohd Fairul Nizam Ahmad, 37, dari Kampung Sungai Haji Muhammad Selekoh, dikatakan mengalami tekanan perasaan.

"Keluarga mangsa ada memberitahu mengenai perkara tersebut ketika di jeti sebentar tadi," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Zaidi, ketika kejadian terdapat seorang lelaki melihat mangsa terjatuh ke dalam Sungai Perak dari jeti berkenaan.

"Saksi berkenaan tidak banyak bercakap kerana dia mendakwa lemah semangat selepas melihat kejadian berkenaan.

"Kita terpaksa menghentikan operasi mencari memandangkan hari semakin gelap. Tetapi kami masih menjalankan pemantauan di lokasi kejadian.

"Operasi mencari akan disambung jam 8 pagi esok dengan bantuan dari agensi serta orang ramai," katanya.

Sinar Harian 12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment