January 31, 2016

Kembali ke pangkuan ibu

Mohamed Hazali (dua dari kiri) bertanya khabar kepada Muhammad Zickrie (dua dari kanan) dan Muis serta Anisah (kanan) ketika tiba di klia2 dari Lombok Indonesia, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Sepang: Dua beradik rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas tinggal hampir 10 tahun bersama bapanya di Lombok, Indonesia.

Muis M Amin,16, dan adiknya Muhammad Zickrie,14, bersama ibunya, Anisah Tukiman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 3.30 petang tadi.

Mereka dibawa pulang atas usaha Biro Antarabangsa Pemuda UMNO selepas berurusan dengan pihak keluarga dan pihak berwajib kedua-dua negara sejak sebulan lalu.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan oleh ibu mereka dari Kuala Langat, Anisah Tukiman memohon dua anaknya dibawa pulang ke negara ini selepas tinggal dalam keadaan daif di bawah jagaan bekas suaminya di kawasan Jengguar, Lombok.

Menurutnya, wanita berkenaan berkahwin dengan lelaki warga Indonesia itu secara tidak sah di negara ini pada 1998 dan dikurniakan dua anak lelaki.

"Pada 2006, pasangan itu membawa dua anak mereka pulang ke Lombok sebelum Anisah kembali berseorangan ke negara ini dua tahun kemudian selepas bercerai.

"Ketika itu, dia tidak membawa bersama anak-anaknya kerana masalah kewangan," katanya.

Beliau berkata, wanita berkenaan menyatakan hasrat membawa pulang dua anak lelaki itu berikutan mereka adalah warganegara Malaysia yang sah.

"Selain itu, dia mendakwa anak-anaknya hidup dalam keadaan daif dan tidak mendapat pendidikan formal di sana," katanya.

myMetro 28 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment