January 13, 2016

Kasih bapa tiada batas


Ibrahim (kiri) menunjukkan laporan kesihatan Shukri, tanpa tempurung kepala.

MERANTI - "Celotehnya panjang, tak ramai yang sanggup dengar. Sekali dia mula cakap, susah nak berhenti," kata Ibrahim Abdullah, 61, mengenai anak keduanya.

Namun, Ibrahim berkata, kerana perasaan sayang, dia sabar melayan kerenah Mohd Shukri Ibrahim, 36, yang dijaga di rumahnya, di sini, kini.

Menurutnya, Mohd Shukri sebelum ini normal dan telah berkahwin serta dikurniakan seorang anak, namun segalanya berubah selepas dia jatuh ketika membaiki bumbung rumahnya di Bangi, Selangor, enam tahun lalu.

"Selepas kemalangan itu, Shukri lumpuh, doktor pun terpaksa buang tempurung kepalanya. Sekarang ini, dia memang tak ada tempurung kepala.

“Alhamdulillah, lepas setahun kami sekeluarga usaha bawa dia pergi mengurut dan cari ikhtiar lain, Shukri sembuh, bolehlah dia bergerak, tapi emosinya masih tak stabil. Ada ada masa dia buat ikut suka dia saja," katanya semalam.

Menurutnya, kini anak kedua daripada 11 beradik itu terpaksa tinggal di kampung sementara isteri dan anak tunggalnya yang berusia tujuh tahun, berada di Kuala Lumpur.

“Saya tak boleh biarkan dia seorang diri sebab kalau dibiarkan, mungkin dia ambil kereta dan pandu seorang diri.

“Walaupun nasibnya berubah, namun kasih sayang kami sekeluarga tidak pernah luput, malah kami tak lekang berdoa agar dugaan dihadapi kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Sinar Harianb 11 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment