January 2, 2016

Kanak-kanak lelaki maut terjatuh tempat tinggi

SUNGAI BULOH - Seorang kanak-kanak lelaki berumur satu tahun 10 bulan maut dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi semasa dalam jagaan pengasuhnya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Rozi Jidin berkata, kejadian pada pukul 6 petang itu dilaporkan oleh pegawai perubatan selepas kanak-kanak malang tersebut dihantar oleh pengasuh ke zon merah dan disahkan meninggal di Hospital Sungai Buloh.

“Sebelum itu pengasuhnya telah membawa kanak-kanak tersebut ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

“Siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada bahagian kanan dan kiri dahi, bibir dan bahagian belakang mangsa selain benjolan sebelah kanan kepala serta perut kanak-kanak itu kembung,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd. Rozi, pengasuh berkenaan pernah memberitahu mangsa pernah terjatuh sebelum Krismas menyebabkan terdapat kesan merah dan lebam di belakang badan.

“Bagaimanapun, kesan kecederaan pada dahi dan kepala tidak dapat dipastikan kerana menurut ibu mangsa, pada sebelah pagi tiada apa-apa kecederaan pada bahagian itu namun pengasuh berkenaan memberitahu anak lelakinya terjatuh.

“Mangsa baru dua bulan dijaga oleh pengasuh berkenaan yang mempunyai dua orang anak yang masing-masing berusia 2 tahun dan 10 bulan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, keputusan bedah siasat menunjukkan kecederaan yang dialami mangsa akibat terjatuh dari tempat tinggi dan polis menyiasat kes ini dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. - K! ONLINE

1 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment