January 31, 2016

Kanak-kanak dikhuatiri lemas dibawa ombak

Kota Tinggi: Kanak-kanak lelaki 12 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Tanjung Sepang, Sungai Rengit, di sini 5 petang semalam.

Heng Tock Peng dari Taman Bayu Damai, Sungai Rengit dikatakan ke pantai berkenaan bersama dua rakan sebaya untuk mandi.

Jurucakap polis berkata, kira-kira 30 minit kemudian mangsa dipercayai terjerlus di kawasan dalam dan gagal berenang ke tepi.

Katanya, dua rakannya gagal menyelamatkan mangsa yang dibawa ombak ke tengah laut dan terus hilang.

"Beberapa pengunjung pantai yang melihat kejadian itu turut cuba membantu tetapi gagal.

"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan membabitkan jabatan bomba, Pasukan Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk," katanya.

myMetro 31 Jan 2016


Hilang ditelan ombak

Kota Tinggi: Tindakan tiga rakan sebaya mandi di pantai Tanjung Sepang, Sungai Rengit, di sini, kelmarin, mengundang episod duka apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa ombak besar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa dikenali sebagai Heng Tock Peng, 12, dari Taman Bayu Damai, Sungai Rengit dikatakan ke pantai berkenaan bersama dua rakan sebaya untuk mandi jam 5 petang.

Bagaimanapun, katanya, 30 minit kemudian, mangsa dipercayai terjerlus ketika berada di kawasan dalam dan gagal berenang ke tepi untuk menyelamatkan diri.

“Dua rakannya yang melihat kejadian itu tidak mampu untuk membantu mangsa kerana dia dibawa ombak yang agak besar ke tengah laut dan terus hilang.

“Beberapa pengunjung pantai yang melihat kejadian itu cuba membantu, tetapi gagal sebelum pengurusan chalet berdekatan menghubungi Balai Polis Sungai Rengit untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, operasi mencari dan menyelamat dijalankan membabitkan bomba, Pasukan Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk berdekatan.

“Kawasan pencarian juga akan diperluaskan dari semasa ke semasa sepanjang operasi dijalankan, namun sehingga jam 4 petang ini (semalam), mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Difahamkan, mangsa anak tunggal dan belajar di tahun enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Sin, Sungai Rengit.

myMetro 1 Feb 2016


Murid tahun enam dikhuatiri lemas

KOTA TINGGI - Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas mandi bersama dua rakannya di Pantai Tanjung Sepang, Sungai Rengit, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa, Heng Tock Peng, 12, beralamat di Perumahan Transit, Taman Bayu Damai dikatakan telah ke pantai tersebut kira-kira jam 5 petang bersama rakan sekampungnya.

Menurutnya, sebaik sampai di pantai itu, mangsa yang juga pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Rengit bersama rakannya terus mandi.

“Kira-kira setengah jam kemudian mangsa dipercayai terjerlus di kawasan yang dalam dan gagal untuk menyelamatkan diri.

“Dua rakannya tidak mampu membantu mangsa yang telah dibawa ombak ke tengah laut dan terus hilang.

“Beberapa pelancong juga cuba membantu namun gagal, susulan kejadian itu pihak pengurusan chalet terus menghubungi Balai Polis Sungai Rengit untuk bantuan,” katanya.

Rahmat berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada jam 6.45 petang melibatkan anggota bomba dan penyelamat, Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang, Balai Polis Sungai Rengit dan JPAM.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, hari kedua SAR semalam dijalankan melibatkan 11 anggota bomba di mana melibatkan pencarian di pesisir pantai.

“Dalam masa sama kita turut sediakan dua bot untuk bersedia bagi pencarian di kawasan laut sekiranya keadaan laut kembali reda. Kita turut dibantu sebuah bot PPM yang meronda di kawasan laut.

“Operasi mencari di pesisir pantai dilakukan sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang dan kawasan pencarian juga akan diperluaskan dari semasa ke semasa sepanjang operasi,” katanya.

Sinar Harian 1 Feb 2016


Lemas: Mayat murid darjah enam ditemui

KOTA TINGGI - Mayat murid darjah enam yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua rakannya di Pantai Tanjung Sepang, Sungai Rengit petang Sabtu lalu berjaya dijumpai kira-kira jam 2.35 petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail  berkata mayat Heng Tock Peng, 12 dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dijumpai terapung di kawasan perairan sebelum dibawa ke darat oleh anggota penyelamat. Ketika ditemui mangsa hanya berseluar tidak berbaju.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fadli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini membabitkan pencarian sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian yang melibatkan kawasan persisir pantai.

Katanya, ekoran keadaan laut bergelora serta angin kuat dan juga ombak setinggi tiga meter menyebabkan pencarian dilaut tidak dapat dijalankan.

Tambahnya, ekoran penemuan itu operasi SAR yang dijalankan 24 jam sejak tiga hari lalu ditamatkan.

Sinar Harian 1 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment