January 13, 2016

Hentakan bertubi-tubi

MAZNAH menemaniTon Mamat yang cederadihentak bata oleh penyamun.

Kuala Terengganu: “Dia hentak muka saya dengan bata bertubi-tubi dan saya hanya mampu menahannya dengan tangan kerana badan tersangkut pada tali pinggang keledar,” kata Ton Mamat Ton Sulaiman, 68, yang cedera selepas disamun seorang lelaki di Kampung Chendering, di sini, kelmarin.

Menurutnya, sebelum kejadian jam 3 petang itu, dia membawa penumpang terbabit dari Stesen Teksi Bandar Kuala Berang selepas didatangi dua lelaki yang mahu ke Kampung Chendering.

Katanya, hanya seorang daripada lelaki terbabit menaiki teksinya kerana seorang lagi mahu menaiki bas.

Menurutnya, dia yang tidak mengesyaki niat jahat lelaki terbabit membawanya ke Kampung Chendering dan sempat berbual ketika dalam perjalanan mereka.

Katanya, lelaki berkenaan memberitahu bekerja sebagai nelayan dan tidak memaklumkan pula tempat asalnya.

“Dalam perjalanan 50 kilometer itu, kami bersembang seperti biasa tetapi sebaik tiba di Kampung Chendering, lelaki berkenaan minta saya berhenti di bahu jalan.

“Secara tiba-tiba, lelaki itu mengambil bata di tepi jalan sebelum masuk semula ke dalam teksi. Waktu itu saya tidak sedar dia memegang bata sebelum lelaki berkenaan menghentak muka saya,” katanya yang menerima lebih 20 jahitan di muka dan kepala.

Ton Mamat berkata, dia tidak mampu melawan kerana badan tersangkut pada tali pinggang keledar dan hanya menahan mukanya dengan kedua-dua tangannya.

Menurutnya, dia berjaya keluar dari kenderaannya untuk mendapatkan pertolongan selepas hampir lima minit dikerjakan lelaki itu.

“Saya sudah tidak berdaya ketika itu dan nasib baik ada tiga penduduk kampung yang melihat kejadian terbabit dan terus mengejar suspek yang lari ke bukit.

“Ketika itu saya hampir pengsan kerana muka dan kepala berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan ambulans,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Maznah Salleh, 60, berkata, dia mendapat tahu kejadian itu selepas anak ketiganya melihat viral suaminya disamun di laman sosial.

Menurutnya, dia cuba menghubungi suaminya tetapi gagal sebelum bergegas ke HSNZ untuk memastikan kejadian sebenar.

Katanya, suaminya dimasukkan ke wad jam 12 tengah malam dan doktor memaklumkan bahawa keadaannya stabil.

“Saya sebak melihat keadaan muka dan kepala suami yang penuh dengan luka dan saya berharap lelaki yang bertanggungjawab itu dapat ditahan segera.

“Dalam tempoh 20 tahun menjadi pemandu teksi, itu kejadian pertama yang menimpa suami dan saya harap selepas ini dia lebih berhati-hati ketika mengambil penumpang,” katanya.

myMetro 13 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment