January 23, 2016

Harap anak dapat rawatan segera

Ishak di samping anaknya yang mengalami masalah injap jantung sejak lahir.

BALING - Seorang penoreh getah dari Kampung Lanai Seberang merayu kepada Kementerian Kesihatan agar dapat mempercepatkan pembedahan anaknya berusia 14 tahun yang mengalami masalah injap jantung sejak lahir.

Ishak Mohd Saad, 49, berkata, sebelum ini pihak hospital memaklumkan anaknya hanya dibenarkan menjalani pembedahan sekiranya sudah mencecah umur 14 atau 15 tahun.

Menurutnya, dia dimaklumkan perkara itu ketika Muhammad Fitri berusia sembilan tahun.

Ishak berkata, anaknya itu turut mengalami masalah kurang daya ingatan dan berkelakuan seperti kanak-kanak berusia tujuh tahun.

“Walaupun dia sudah masuk kategori remaja, tapi perangainya kelihatan seperti budak-budak lagi, saiz fizikalnya juga kecil.

“Dia juga masih belum tahu menulis dan membaca, kadang-kadang dia main tanah dan ulat, macam kanak-kanak kecil,” katanya.

Jelasnya lagi, pendapatan hasil menoreh getah sepenuh masa juga tidak mencukupi untuknya menampung tiga lagi anak yang lain .

“Isteri saya bekerja di kilang proses ayam, dia juga mengalami sakit kencing manis dan darah tinggi.

“Dengan kos sara hidup yang semakin membebankan sekarang, saya benar-benar tertekan dan memerlukan sumbangan untuk menanggung keluarga,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kariah Masjid Intan Shafinaz, Zakaria Ismail berkata, ayah kepada empat anak itu hanya memperoleh bantuan zakat berbentuk makanan.

“Dia memang hidup susah dan hanya menoreh getah bagi menampung keluarga.

“Kadangkala pihak masjid turut bantu berikan bantuan dari sumber kewangan tabung masjid dan juga sumbangan ahli jemaah lain seperti kutipan setiap kali Ramadhan,” katanya.

Bagi mana-mana pihak yang bersimpati ke atas keluarga ini boleh menghulurkan bantuan ke akaun Bank Rakyat di nombor akaun 220041347981.

Sinar Harian 23 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment