January 31, 2016

Dua hari tayar terbakar

DUA anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran pada longgokan tayar di Taman Seri Kota, Bestari Jaya, semalam.

Kuala Selangor: Lebih 20 rumah di Taman Seri Kota, Bestari Jaya di sini, terselamat daripada dijilat api apabila kebakaran membabitkan longgokan tayar terpakai dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat semalam.

Kejadian jam 9.30 pagi itu dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh sejam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Rosdi Shafie berkata, kebakaran membabitkan longgokan tayar itu bermula kelmarin sebelum dipadamkan, namun ia terbakar semula semalam.

“Kami percaya kebakaran berpunca daripada individu yang sengaja membakarnya bagi tujuan pembersihan. Bagaimanapun, kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan semak dan rumah di situ,” katanya, semalam.

Rosdi menasihati orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka berikutan cuaca kering dan tiupan angin kuat kerana ia yang boleh menjejaskan rumah berdekatan.

“Api daripada longgokan tayar getah mudah merebak dan sukar untuk memadamkannya.

“Jadi, kami minta orang ramai tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka walaupun hanya membakar sampah,” katanya.

myMetro 28 Jan 2016


0 comments:

Post a Comment