January 13, 2016

Dua beranak maut ditikam

SUSPEK yang diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan dua beranak di Ladang Permodalan 1, Kinabatangan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

Kinabatangan: Pertengkaran antara wanita bersama bekas suaminya di rumah mereka di Ladang Permodalan 1, di sini, berakhir kematian apabila mangsa bersama anak lelakinya maut ditikam senjata tajam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi tadi, Basri Jamaludin, 24, mati serta-merta di tempat kejadian manakala ibunya, Azura Shima, 39, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden A Sahak Rahmat berkata, susulan kejadian itu, polis kini memburu lelaki berusia 40 tahun, yang juga bekas suami wanita berkenaan bagi membantu siasatan.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua mangsa yang maut adalah bekas isteri dan anak tiri kepada suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mengetahui lokasi atau melihat kelibat suspek diminta supaya segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

myMetro 11 January 2016



Wanita, anak tiri mati ditikam bekas suami

KINABATANGAN - Seorang wanita dan anak tiri mati ditikam oleh bekas suaminya di perumahan Ladang Sawit Permodalan 1, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A. Rahmat Sahak berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5.20 pagi dan dipercayai berpunca selepas lelaki itu gagal memujuk bekas isterinya itu untuk rujuk semula.

Katanya berikutan kejadian itu, polis kini memburu lelaki itu dikenali sebagai Bakri Bin Rakku, 40, yang menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Menurutnya mangsa, Azura Binti Shima, 39, mati ketika menerima rawatan di klinik ladang itu, manakala anak tirinya Basri Bin Jamaluddin, 24, mati di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa ditikam oleh lelaki itu ketika mereka sedang tidur di rumah pekerja itu, katanya.

A. Rahmat berkata saksi kejadian itu adalah anak lelaki mereka yang berusia 14 tahun yang telah terjaga dan melihat bapanya menikam ibunya dengan senjata tajam dengan satu tikaman.

Katanya bapanya itu kemudian pergi ke sebuah bilik lagi lalu menikam Basri sebelum melarikan diri.

Menurut laporan daripada anak mangsa, bapanya itu telah berjumpa dengan ibunya semalam di rumah pekerja itu untuk rujuk semula tetapi ibunya tidak mahu kerana mereka sering bergaduh dan dia dipukul.

Polis meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut atau mengetahui lokasi lelaki itu agar menghubungi Asisten Superintendan Yumpil Garai di IPD Kinabatangan, di talian 08-9561890. - Bernama

Sinar Harian 12 Januari 2016


Suspek kes bunuh ditahan

Kinabatangan: Suspek lelaki berusia 40 tahun yang disyaki menikam bekas isteri dan anak tirinya hingga mati di rumah mereka di Ladang Permodalan 1, di sini, akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, suspek ditahan pada jam 3.15 petang tadi di sekitar ladang itu sebaik menerima maklumat awam.

"Sepasukan polis yang melancarkan Op Kesan dengan dibantu pekerja ladang berjaya mengesan suspek sebelum berjaya menahannya.

"Ketika ditangkap, suspek didapati luka di bahu kanan," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

A Sahak berkata, pemeriksaan menemui satu anak kunci motosikal, dompet dan wang tunai RM704.

"Suspek akan ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dan pihak media yang membantu sehingga suspek berjaya ditangkap," katanya.

Katanya, dengan tertangkapnya lelaki terbabit, polis yakin dapat menyelesaikan kes berkenaan.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi kelmarin, Basri Jamaludin, 24, mati di tempat kejadian manakala ibunya yang juga bekas isteri suspek, Azura Shima, 39, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran.

myMetro 13 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment