January 2, 2016

Dua beradik ditemui mati lemas dalam kolam takungan air

Salah seorang kanak-kanak yang ditemui lemas ketika mandi di sebuah kolam takungan air.

PAPAR - Kegembiraan dua beradik menyambut tahun baharu dengan mandi di sebuah kolam takungan air di Kampung Simpudu dekat sini berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemui lemas hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kedua-dua beradik itu dipercayai lemas setelah Ronny Chew Chee Ming, 12, cuba menyelamatkan adiknya Davies, 10, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang gagal berenang sebelum mereka tenggelam ke dasar kolam.

Seorang jiran mangsa dikenali Jakson, 41, berkata, sebelum kejadian, dia dan rakannya yang sedang memotong rumput di lokasi berkenaan melihat kedua-dua beradik itu bermain buaian bersama seorang lagi abang mereka berusia 13 tahun sebelum mendekati kolam sedalam kira-kira dua meter berkenaan.

Katanya, perbuatan tiga beradik itu lantas dimarahinya selain menyuruh mereka agar tidak mendekati atau mandi di kolam tersebut bagi tujuan keselamatan.

“Bagaimanapun, ketika sedang makan tengah hari, abang daripada tiga beradik itu telah memaklumkan bahawa dua adiknya tidak muncul selepas mandi di dalam kolam tersebut.

“Saya bersama rakan kemudian bergegas pergi kolam tersebut sebelum terjun bagi menyelamatkan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini. – K! ONLINE

Kosmo 1 Jan 2016


Ajal dua beradik

Papar: Dua beradik lelaki masing-masing berusia 10 dan 12 tahun ditemui lemas di kolam terbiar di Kampung Simpudu, dekat sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Davis Ching Meng ditemui pada 12.40 tengah hari dan abangnya Rony Chiu Meng, yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui setengah jam kemudian oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar.

Mereka dipercayai mandi di kolam berkenaan sebelum lemas.

Ketua BBP Papar Dunstan Peter berkata, sebaik menerima maklumat daripada ibu kedua-dua mangsa, sepasukan anggota bomba ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 12.50 tengah hari, mangsa pertama sudah ditemui pekerja kebun berhampiran lokasi kejadian dan operasi menyelamat terus dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa.

"Selepas setengah jam operasi mencari dilakukan, mangsa kedua ditemui," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans Hospital Papar dan bomba untuk tindakan lanjut.

"Bagaimanapun, kita menerima maklumat daripada pihak hospital bahawa kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia," katanya.

myMetro 1 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment