January 31, 2016

Doktor suruh potong tangan

NOR Azilawati menunjukkan bahu tangan kiri Alif Haikal yang membengkak dan disahkan menghidap barah tulang tahap tiga.

Nibong Tebal: Bermula dengan bahu kiri patah akibat terjatuh ketika bermain yang susah pulih sejak Julai lalu, akhirnya membongkar penyakit barah tulang dihidap seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Alif Haikal Mohd Ayob.

Ibunya, Nor Azilawati Che Ahmad, 25, berkata, anak tunggalnya itu disahkan menghidap barah tulang tahap tiga pada November lalu selepas bahu kirinya bengkak.

“Perkara itu dimaklumkan doktor di Hospital Pulau Pinang (HPP) kepada saya dan suami Mohd Ayob Ahmad pada November tahun lalu.

“Pada mulanya, Alif mendapat rawatan di HPP selepas bahu kirinya patah akibat terjatuh ketika bermain di rumah keluarga mentua, Julai tahun lalu.

“Dia ditahan di wad selama seminggu selain disimen dari paras bahu hingga lengan,” katanya yang ditemui ketika menerima kunjungan wakil Zakat Pulau Pinang (ZPP) di rumah keluarganya di Kampung Tasek Cempedak di sini, semalam.

Menurutnya, pada Ogos lalu, doktor membuka simen itu dan memaklumkan tulang bahu Alif masih tidak berada pada kedudukan yang betul dan perlu disimen semula.

Katanya, seminggu selepas simen kali kedua dibuka pada Oktober lalu, bahu kiri anaknya mula membengkak dan bengkak itu semakin membesar hingga bersaiz 45 sentimeter sebulan selepas simen itu dibuka.

“Ketika itu doktor mengesahkan anak kami menghidap barah tulang dan mencadangkan tangan kirinya dipotong, namun kami sekeluarga tidak bersetuju,” katanya.

Menurutnya, dia merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai pembantu pasar malam.

myMetro 28 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment