January 18, 2016

Dilanggar lori pasir


KERETA mangsa yang remuk selepas kemalangan dengan lori pasir, semalam. FOTO Adnan Ibrahim

Kluang: Bayi lapan bulan terbunuh manakala dua ahli keluarganya cedera selepas kenderaan dinaiki dilanggar lori pasir dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Mersing, tengah hari ini.

Kejadian berlaku ketika kenderaan dinaiki mangsa bersama kakak dan ibunya diletakkan di kawasan letak kereta di depan klinik, kira-kira 12 tengah hari.

Bagaimanapun, ketika kejadian, lori pasir yang dalam perjalanan dari bandar Kluang ke Jalan Mersing melanggar kenderaan itu bersama dua kenderaan lain diletakkan berdekatan kenderaan mangsa.

Mangsa kemudian dihantar oleh orang awam ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

myMetro 16 Jan 2016


Pemandu lori pasir direman empat hari

Kluang: Pemandu lori pasir yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan bayi lapan bulan terbunuh di Kilometer 55.8 Jalan Mersing semalam, direman selama empat hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, ujian air kencing mendapati pemandu lori berkenaan bebas daripada pengaruh dadah ketika kejadian dan semakan rekod jenayah lampau turut mendapati dia tidak pernah terbabit dalam jenayah.

"Hasil semakan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai 23 saman, 19 daripadanya sudah dibayar namun mempunyai dua waran tangkap daripada empat saman yang belum dijelaskan itu.

"Dua waran tangkap adalah membabitkan kesalahan masing-masing satu kesalahan menggunakan alat komunikasi ketika memandu, manakala satu lagi adalah kesalahan kemalangan jalan raya mengikut peraturan 10 LN 166/59 (gagal mengawal kenderaan semasa memandu dan menyebabkan kemalangan) di Johor Bharu Utara (JBU)," katanya.

Katanya, semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu kini masih ditahan untuk pemeriksaan oleh Puspakom khususnya lori pasir berkenaan yang menjadi punca utama kemalangan maut itu berlaku.

"Keputusan berkaitan dengan pemeriksaan itu akan diketahui dalam masa terdekat ini," katanya.

myMetro 17 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment