January 23, 2016

Demi kasih kepada ibu

Rombongan POKB dan Umno Kubang Kerian meluangkan masa melawat Fatiman di kediamannya kelmarin.

KOTA BHARU - Demi kasih kepada ibu yang lumpuh dan terlantar, dua beradik ini sanggup berhenti kerja walaupun mempunyai gaji lumayan.

Syafiqah Najwa Mohd Zulkifli, 25, dan abangnya, Syafiq Akhmal, 26, terpaksa berhenti bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Johor dan Kuantan kerana ibunya, Fatimah Junoh, 50, memerlukan penjagaan rapi setelah terkena serangan strok sejak tujuh bulan lalu.

Syafiqah Najwa berkata, ekoran keadaan ibunya yang perlu perhatian sepenuhnya, dia tekad berhenti kerja demi menjaga ibunya sepenuh masa, walaupun ketika itu menerima gaji ribuan ringgit kerana mahu menjaga ibunya sepenuh masa.

“Saya anak kedua daripada empat beradik, manakala ayah hanya buruh di sebuah kilang di Padang Tembak Jalan Pengkalan Chepa.

“Abang juga berhenti kerja dan kini menjadi pembantu sebuah kedai makan untuk membantu ayah mencari sumber pendapatan tambahan apabila kami sekeluarga memerlukan perbelanjaan besar untuk rawatan penyakit ibu.

“Untuk keperluan membeli lampin pakai buang dan susu khas ibu memerlukan kira-kira RM800 hingga RM1,000 sebulan, sedangkan pendapatan ayah hanya sebagai buruh masih tidak mencukupi untuk kos perbelanjaan ibu termasuk fisioterapi dan ubat-ubatannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Demit dekat Kubang Kerian di sini, kelmarin.

Terdahulu keluarga terbabit menerima lawatan daripada rombongan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) diketuai Pengerusi Majlis Penasihat POKB merangkap Penasihat Tabung Kanser POKB, Datuk Abd Halim Hamat.

Turut hadir, Exco Penerangan Wanita Umno Parlimen Kubang Kerian, Mariam Hamat yang turut menghulurkan sumbangan barangan keperluan harian kepada keluarga terbabit.

Syafiqah Najwa berkata, walaupun kedua kaki ibunya masih boleh digerakkan, namun kegagalan otaknya berfungsi menjadikan keseluruhan saraf Fatimah tidak dapat digunakan sepenuhnya, dan makanan bubur serta susu dan vitamin terpaksa disalurkan menggunakan tiub melalui hidung.

Sementara itu, Abd Halim berkata, sebagai NGO yang memberi tumpuan kepada penduduk miskin yang menghidap penyakit kronik seperti kanser, jantung atau darah tinggi, POKB hanya mampu menghulurkan bantuan terhad.

“Hari ini POKB menyumbang sebuah kerusi roda, namun saya gesa badan korporat, NGO lain dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membantu keluarga ini,” katanya.

Sinar Harian 23 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment