January 27, 2016

Dapur pengantin baru hangus


MOHD Alif (kiri) dan isterinya, Amida Anis melihat barangan dan kelengkapan dapur yang musnah dalam kebakaran. FOTO Hamzah Osman

Langkawi: Sepasang pengantin baru dan seorang sepupu lelaki sempat menyelamatkan diri apabila dapur rumah flat mereka terbakar di Taman Dahlia, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.30 pagi, Mohd Alif Najmi Roslan, 19, dan isteri Amida Anis Abas, 16, serta sepupu mereka Abdul Hakim Abdullah, 21, sempat menyelamatkan diri dengan bergegas keluar dari rumah sebaik terhidu bau asap.

Amida Anis berkata, ketika kejadian dia dan suami sedang tidur dan tersedar apabila keadaan dalam bilikterlalu panas selain terhidu bau asap.

"Dalam keadaan panik saya mengejutkan suami sebelum kami mengejutkan pula sepupu yang sedang tidur di atas kusyen di ruang tamu sebelum bergegas keluar.

"Semua barangan dan peralatan memasak di ruang dapur musnah menjadi abu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.48 pagi.

"Sejurus menerima panggilan, tiga jentera termasuk sebuah jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi bergegas ke lokasi.

"Jentera pertama tiba di tempat kejadian pada 4.54 pagi dan mendapati keadaan api ketika itu sedang membakar dapur di tingkat lima sebuah rumah flat," katanya.

Beliau berkata, 13 anggota bomba diketuai Komander Operasi Md Fauzi Othman berjaya mengawal kebakaran supaya tidak merebak ke rumah berdekatan.

"Kira-kira 80 peratus bahagian dapur rumah itu musnah dan api dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 5.21," katanya.

myMetro 25 January 2016


0 comments:

Post a Comment