January 21, 2016

Bunuh warga emas: Polis tahan tiga suspek

BUKIT BERUANG - Tiga lelaki ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian bunuh seorang lelaki warga emas yang ditikam di hadapan rumahnya di Kampung Lanjut Manis, Krubong, Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, ketiga - tiga lelaki termasuk suspek utama berusia 20 hingga 28 tahun itu ditahan dalam tiga tangkapan berasingan pada Ahad dan Isnin lalu.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam kejadian di hadapan rumah mangsa. Salah seorang daripadanya dipercayai bertindak menikam mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek mengenali mangsa dan mereka ditahan di sekitar kampung terbabit,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi menyelesaikan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita masih dalam peringkat siasatan dan tidak boleh mendedahkan hasil siasatan kepada umum kerana bimbang mengganggu siasatan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, semalam.

Pada 16 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan warga emas, Hussin Joh, 76, mati dibunuh dipercayai ditikam sebanyak dua kali di hadapan rumahnya.

Mangsa dipercayai disamun ditemui berlumuran darah di bahagian dada oleh penduduk kampung kira-kira jam 10.45 pagi, manakala suspek melarikan diri.

Mangsa tinggal bersama lima ahli keluarga yang lain termasuk isteri, anak perempuan dan menantu, namun ketika kejadian hanya sendirian di rumah.

Sinar Harian 20 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment