January 3, 2016

'Biarlah saya tak makan'

ANTARA kucing yang dipelihara selepas lumpuh seluruh badan.

KUCING sakit diberi rawatan perubatan.

Bukit Beruntung: “Orang gila, kerja bodoh!”. Itu antara kata yang sering dilemparkan segelintir masyarakat kepada Mohd Rohizan Ramli, 38, yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai penulis skrip drama untuk menjaga kebajikan hampir 100 kucing jalanan sejak awal tahun ini.

Rohizan bagaimanapun tidak menyesal meninggalkan kerjayanya sebagai penulis skrip, malah lebih bahagia apabila tidak lagi dibelenggu tarikh akhir bagi skrip yang ditulis.

Kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya juga hanya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan Rohizan sebaliknya usaha menyelamatkan kucing jalanan semakin aktif dijalankan.

Menurutnya, semuanya bermula apabila 13 daripada 30 kucing kesayangannya mati akibat dijangkiti virus tahun lalu dan kesibukan bekerja membuatkannya terlepas pandang terhadap kebajikan kucingnya.

“Saya terikat dengan tarikh akhir semasa menulis skrip dan tumpuan terhadap kucing ketika itu memang terjejas. Saya hanya sempat membersihkan mereka dan memberi makan mengikut jadual.

“Namun, tanpa diduga 13 kucing mati secara bergilir-gilir dalam masa sebulan dan perkara itu betul-betul membuatkan saya tertekan sehingga saya nekad untuk berhenti kerja akhir tahun lalu,” katanya ketika ditemui di pusat perlindungan kucingnya di sini, semalam.

Bergantung dengan bantuan orang ramai dan wang simpanan, Rohizan boleh disifatkan sebagai penyelamat haiwan sepenuh masa apabila dia sanggup menyewa kedai pada harga RM1,200 sebulan untuk menguruskan pusat perlindungan yang dibina bersama arwah rakan baiknya tanpa mengaut sebarang keuntungan.

“Pada mulanya memang saya jangka akan berlaku kesulitan selepas saya berhenti kerja, namun rezeki Allah SWT sentiasa dijanjikan untuk hamba-Nya yang berusaha.

“Saya diberikan banyak pekerjaan baru yang semuanya membabitkan kucing juga iaitu merapikan kucing, menjual makanan kucing, menjaga kucing di rumah orang dan memberi makan ubat kepada kucing yang sakit. Malah, saya masih menulis buku pada waktu lapang.

“Dengan wang bantuan orang ramailah saya boleh membayar keperluan semua kucing dan adakalanya saya terpaksa berhutang untuk membeli ubat mereka kerana itu yang lebih penting,” katanya yang berasal dari Beseri, Perlis.

Rohizan yang dikenali dengan nama pena Janjira berkata, dia kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan membuang kucing peliharaan di depan rumahnya selepas mengetahui aktivitinya menyelamatkan haiwan berkenaan.

“Saya hanya menyelamatkan kucing yang tidak bertuan kerana ia perlu diberi makan dan ubat sekiranya sakit. Namun, masih ada yang sampai hati meletakkan kucing di depan rumah saya sebelum ini kerana tidak larat atau enggan menjaganya lagi.

“Keadaan ini semakin menyempitkan kewangan saya kerana gaji bulanan saya hanya mencecah RM2,000 sedangkan perbelanjaan sebenar melebihi RM5,000 untuk membeli makanan dan ubat-ubatan,” katanya.

Setakat ini, Rohizan memiliki hampir 100 kucing yang 50 daripadanya berpenyakit seperti lumpuh seluruh badan, sporotrikosis, ketumbuhan di perut, kurap, buta dan banyak lagi.

“Jika saya ternampak kucing sakit, tidak bertuan dan sedang sarat bunting, saya akan terus bawa ke pusat perlindungan kerana saya percaya sukar bagi mereka untuk hidup di dunia luar.

“Puas hati saya apabila melihat kucing yang dahulunya kurus, sekarang sudah gemuk dan bebas daripada penyakit. Biarlah saya tak makan, tangan saya penuh calar selepas dicakar kucing atau saya terpaksa berkongsi tilam dengan kucing, asalkan mereka dapat hidup dengan selesa,” katanya.

Menjelaskan mengenai lokasi pusat perlindungan berkenaan yang agak terpencil, Rohizan berkata, dia sebenarnya yang menumpang di rumah kucing itu dan lokasi itu sesuai ditubuhkan pusat perlindungan kerana jauh daripada orang ramai.

“Walaupun membela binatang adalah perbuatan terpuji, perasaan jiran tetangga serta masyarakat sekeliling perlu diambil kira.

“Memanglah bela binatang ini orang kata dapat pahala tetapi paling utama kita kena jaga perasaan jiran kita. Tak guna kalau kita bela binatang tapi jiran marah. Saya memang utamakan keselesaan jiran. Jadi saya rasa lokasi sini agak bagus kerana jauh sikit daripada orang.

“Tingkat bawah saya tempatkan kucing sakit dan tingkat atas untuk kucing yang sihat,” katanya.

Ditanya mengenai pasangan hidup, Rohizan mencari seseorang yang mempunyai minat fanatik terhadap kucing kerana tidak semua boleh menerima gaya hidupnya yang sudah diabdikan untuk kebajikan kucing terbiar.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah berbuat demikian menerusi akaun Rohizan 12100036899525 (CIMB) atau hubunginya di talian 010-3866733 atau 019-2966223 untuk maklumat lanjut.

myMetro 2 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment