January 21, 2016

Berlari 30 meter selepas ditikam

Lokasi mangsa ditikam selepas didatangi empat lelaki.

SUNGAI PETANI - Seorang remaja berusia 16 tahun maut selepas ditikam di dada oleh seorang lelaki di hadapan bangunan rumah kedai di Bandar Puteri Jaya, malam kelmarin.

Dalam kejadian, kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, K Kishen,16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Bijaya Setia di Jalan Kuala Ketil di sini, didatangi empat lelaki yang menaiki dua motosikal ketika berjalan bersendirian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, mangsa dipercayai dihalang empat lelaki berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menikam dada mangsa dengan senjata tajam.

Menurutnya, selepas ditikam mangsa berlari sejauh lebih 30 meter dan rebah tidak sedarkan diri di hadapan sebuah pasar raya.

"Orang ramai yang melihat keadaan mangsa terus menghubungi ambulans dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

"Namun ketika dalam perjalanan, mangsa disahkan maut," katanya.

Md Zukir berkata, susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun direman pagi semalam, sehingga 26 Januari ini untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ketika tinjauan Sinar Harian di pekarangan HSAH, keluarga mangsa didapati tidak dapat menerima kejadian menimpa anak mereka kerana mangsa seorang pendiam dan tidak pernah terlibat atau mengadu bergaduh dengan sesiapa.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 8 malam, Kishen ada meminta izin ibunya untuk pergi ke sebuah siber kafe yang selalu disinggahinya.

Menurutnya, namun kira-kira jam 9.30 malam, ibunya menerima panggilan memaklumkan anaknya dikejarkan ke hospital kerana ditikam lelaki tidak dikenali.

“Difahamkan, dalam perjalanan itu, Kishen sempat menyebut nama seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu,” katanya.

Sinar Harian 21 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment