January 11, 2016

Berkain pelekat terjun tingkap

API marak memusnahkan rumah mangsa.


Seri Iskandar: “Saya panik apabila melihat api semakin marak lalu terus terjun melalui tingkap walaupun hanya berkain pelekat,” kata Amirul Naim Mohamad Azhar, 18, menceritakan detik cemas kebakaran di rumahnya di Kampung Parit 9, Titi Gantong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi, rumah keluarga Amirul Naim musnah sepenuhnya dipercayai akibat litar pintas.

Menurutnya, ketika kejadian dia tidur di biliknya di tingkat atas rumah sebelum menyedari ada api kecil dalam biliknya.

“Saya terjaga daripada tidur kerana terasa panas dan terkejut melihat api dalam bilik dan sebaik keluar dari bilik saya lihat api sudah marak di ruang tamu tingkat atas.

“Saya sempat menjerit memberitahu ibu saudara yang berada di tingkat bawah sebelum berlari ke bilik air mengangkut air menggunakan baldi untuk cuba memadamkan api,” katanya.

Katanya, sebaik menyedari usahanya itu tidak berhasil dan api semakin marak, dia terus panik dan masuk semula ke biliknya.

“Keadaan kelam-kabut ketika itu dan kerana terlalu cemas saya berlari ke dalam bilik dan terjun melalui tingkap tanpa sempat menyelamatkan barang dan dokumen penting,” katanya.

Ibu saudaranya, Hamisyah Ramli, 35, berkata, ketika kejadian, hanya dia dan Amirul Naim berada di rumah manakala abang, kakak ipar dan seorang anak saudaranya yang lain keluar bekerja.

Menurutnya, semua peralatan rumah serta dokumen penting musnah dan anggaran kerugian lebih RM40,000.

“Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting milik saya serta kereta kerana api marak cepat.

“Luluh hati melihat rumah pusaka berusia 60 tahun itu musnah sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Muhammad Fauzi Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.34 pagi sebelum 19 anggota bersama dua jentera dengan bantuan anggota dari BBP Seri Iskandar bergegas ke tempat kejadian.

“Kebakaran membabitkan 90 peratus kemusnahan dan operasi tamat jam 9.26 pagi,” katanya.

myMetro 10 January 2016


0 comments:

Post a Comment