January 31, 2016

Baru curi beg tangan, kena langgar kereta

Kuala Lumpur: Baru mencuri beg tangan seorang wanita, kena langgar kereta sampai patah kaki. Itu ‘balasan segera’ diterima seorang lelaki di Jalan Ipoh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11 pagi itu, seorang wanita memberhentikan MPVnya di stesen minyak kerana ada masalah pada tayar.

Ketika mangsa berusia 30-an itu keluar dari MPV, dia didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal sebelum pembonceng motosikal itu mencuri beg tangan di tempat duduk bahagian penumpang.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kedua-dua suspek melarikan diri secara berasingan dengan seorang daripada suspek dikejar oleh orang ramai sebelum dia mencampak beg tangan mangsa ke atas jalan.

"Penunggang motosikal memecut motosikal ke arah lain manakala pemboncengnya berlari dan sempat mencampak beg tangan mangsa ke atas jalan.

“Ketika berlari melintas jalan, suspek dilanggar kereta menyebabkan dia ditahan orang awam. Suspek yang 29 tahun itu patah kaki dan cedera pada kedua-dua tangan, " katanya.

Menurutnya, suspek dibawa ke Hospital Selayang untuk dirawat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

myMetro 29 January 2016

0 comments:

Post a Comment