January 21, 2016

‘Bangsal’ kediaman 6 sekeluarga


Wan Roznan, isteri dan empat anaknya terpaksa berhimpit di rumah kecil ini bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka biarpun serba kekurangan.

MACHANG - “Sekalipun hidup berhimpit, makan, minum dan tidur dekat tempat sama, kami terpaksa,” luah seorang bapa di sini, ketika menceritakan nasib mereka enam sekeluarga.

Wan Roznan Wan Hussin yang juga orang kurang upaya (OKU) berkata, dia sedih dan bingung memikirkan nasib empat anaknya apabila terpaksa tinggal di rumah yang layak dipanggil ‘bangsal’ di Kampung Pasir Sena, dekat Temangan.

Katanya, sekalipun anak-anaknya tidak merungut, dia tahu mereka tidak selesa apatah lagi terpaksa tidur berhimpit bagi memastikan rumah kecil itu muat untuk mereka.

Tambahnya, mereka sekeluarga berpindah ke rumah diperbuat daripada papan lapis itu sejak empat bulan lalu akibat kesempitan hidup dan tidak mampu menyewa rumah.

“Dengan gaji pengawal keselamatan sebanyak RM1,000, saya terpaksa berjimat untuk makan, minum, dan pendidikan anak-anak. Jadi kami pilih tinggal di rumah sendiri biarpun tak sempurna.

“Bilik tak ada, bilik air dan tandas juga tak ada. Lantai rumah pula papan lapis, kami kena hati-hati supaya tak jatuh sebab lantai lembut dan bahaya,” katanya.

Wan Roznan berkata, dia tidak mampu bekerja berat dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sebagai pengawal keselamatan, manakala isterinya tidak bekerja demi perlu menguruskan anak-anak.

Katanya, keempat-empat anak lelakinya berusia antara empat hingga 14 tahun kesemuanya bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

“Saya harap sangat ada pihak sudi bantu keluarga saya terutama anak-anak yang masih belajar dan memerlukan rumah lebih selesa.

“Dengan gaji sebagai pengawal keselamatan, saya tak mampu bina rumah sendiri. Kami bukan harap rumah besar, cukup rumah selesa untuk anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Abdul Hamid Ibrahim berkata, pihaknya mengambil serius nasib keluarga tersebut terutama anak-anak Wan Roznan yang masih belajar.

“Wan Roznan ada jumpa saya mohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) dan borang tersebut telah dihantar Disember lalu.

“Pihak kami juga membantu keluarga itu dengan pelbagai bantuan bagi meringankan kesusahan hidup mereka, namun dalam keadaan sekarang mereka memerlukan rumah lebih selesa demi anak-anak yang sedang membesar,” katanya.

Sinar Harian 21 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment