January 3, 2016

ATM hero!


Kuala Krai: Selepas tiga hari terputus hubungan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil inisiatif membantu membina jambatan sementara (jetfloat) sepanjang 80 meter untuk menggantikan jambatan Kampung Pemberian, di sini yang runtuh akibat banjir Selasa lalu.

Jambatan sepanjang 80 meter di Sungai Lebir itu memberi kemudahan kepada 2,000 penduduk Kampung Pemberian untuk berulang-alik ke Kampung Manjor dan ke bandar.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, jambatan sementara Kampung Pemberian runtuh akibat rempuhan kuat sisa kayu balak.

Akibatnya penduduk terpaksa menggunakan bot yang disediakan sukarelawan untuk keluar ke kampung berdekatan.

Panglima 8 Briged Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, pihaknya mula membina jambatan sementara itu sejak semalam dan dijangka siap hari ini dengan menggunakan dua set jetfloat membabitkan 1,600 unit platform terapung.

Katanya, jambatan berkenaan mampu menampung beban pejalan kaki untuk berulang-alik ke kampung seberang.

“Jambatan ini boleh bertahan lama jika dijaga dengan baik dan perlu penyelenggaraan rapi. Ia juga sesuai dalam semua iklim termasuk hujan dan panas dan mampu menahan angin kencang termasuk gelombang air yang tinggi.

“Selain itu, jambatan ini juga mampu menampung beban sehingga 30 tan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kerja pembinaan jambatan sementara itu diketuai oleh Pegawai Memerintah 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja, Kem Desa Pahlawan, Mejar Muhamad Salim Mohamad membabitkan lima pegawai dan 90 anggota daripada 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Batalion 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD).

myMetro 2 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment