January 14, 2016

Api misteri paksa dua keluarga berpindah

Motosikal milik anak Rafeah yang hangus terbakar. - Foto ROZAINAH ZAKARIA

Jiran Rafeah, Azlan Abu Bakar, 59 , menunjukkan langsir rumahnya yang terbakar. - Foto ROZAINAH ZAKARIA

Dinding rumah Rafeah juga terbakar akibat api yang muncul secara tiba-tiba. - Foto ROZAINAH ZAKARIA

Barang dalam rak kasut di rumah Rafeah turut terbakar. - Foto ROZAINAH ZAKARIA

Rafeah menunjukkan lokasi rak pinggan mangkuk di belakang rumah yang terbakar tiba-tiba. - Foto ROZAINAH ZAKARIA

Kuala Terengganu: Kejadian kebakaran secara tiba-tiba hingga merosakkan motosikal dan pakaian memaksa dua keluarga di Kampung Losong Atap Zin di sini, berpindah selepas mereka gagal mencari penyelesaian.

Rafeah Sudin, 41, dan Nor Aini Kamaruddin, 35, yang menghuni rumah berkembar setingkat berkata kejadian sedemikian bermula November lalu dan terbaru semalam.

Rafeah yang sudah lapan tahun menyewa rumah itu berkata, dalam tempoh tiga bulan lebih 20 kebakaran kecil berlaku sama ada siang atau malam, terutama selepas Subuh membabitkan kerugian lebih RM10,000.

Menurutnya, pada awalnya rak pinggan mangkuk di belakang rumah terbakar namun dia tidak mengesyaki sesuatu yang pelik hinggalah dua hari kemudian, dinding belakang rumah pula terbakar, diikuti kebakaran lain.

"Terbaru dalam kejadian 6 pagi tadi, motosikal jenis Yamaha Ego yang diletak di luar rumah pula musnah dijilat api," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, Disember lalu, motosikal jenis Modenas Kriss hangus terbakar, diikuti skuter Modenas Elit dan awal pagi tadi, Yamaha Ego milik anaknya pula menjadi mangsa api misteri itu.

Berikutan tidak tahan dengan kejadian itu, Rafeah dan keluarga nekad berpindah bagi mengelak kerugian lebih besar, tambahan suaminya hanya bekerja di bengkel.

Situasi itu turut dialami Nor Aini, ibu enam anak yang menyewa di sebelah rumah Rafeah yang secara tiba-tiba bahagian dapur rumahnya mengeluarkan asap disusuli api kecil menyambar langsir.

Nor Aini berkata kejadian paling buruk berlaku Disember lalu, apabila almari baju tiba-tiba terbakar dan memusnahkan semua pakaian mereka.

"Setiap kali hendak tidur dan meninggalkan rumah, kami sering risau ada yang terbakar,” katanya.

Setiap kali berlaku kebakaran mereka hanya menyimbah air dan sentiasa meletak sebaldi air di sekitar kawasan rumah bagi membolehkan bertindak cepat.

Menurut Rafeah dan Noraini, pelbagai usaha dilakukan termasuk memanggil pengamal perubatan Islam dan ustaz namun tidak berhasil. - Bernama

myMetro 13 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment