January 18, 2016

Anggota polis maut nahas 3 kenderaan

MANGSA maut di lokasi kejadian selepas terbabas ke tengah jalan.

Batu Gajah: Seorang anggota polis maut dalam nahas membabitkan dua motosikal dan kereta di Kilometer 23, Jalan Ipoh - Lumut, berhampiran Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Perak, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa Koperal Salim Hashim, 55, anggota Cawangan Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, beralamat di Taman Bandar Universiti, Sri Iskandar, dekat sini, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penunggang motosikal parah dan pemandu kereta tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal ditunggang anggota polis berkenaan dan motosikal tiga roda ditunggang lelaki warga emas serta Perodua Viva dipandu wanita berusia 52 tahun.

Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila anggota polis berkenaan yang menunggang Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Tronoh ke Batu Gajah bergesel dari arah belakang dengan motosikal roda tiga.

“Akibatnya mangsa terbabas ke tengah jalan sebelum dirempuh Perodua Viva yang gagal mengelak.

“Mangsa parah di beberapa anggota badan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat,” katanya, di sini semalam.

Mohd Nasri berkata, kemalangan itu juga mengakibatkan buruh kasar, Chong Kew, 76, berasal dari Tronoh, di sini parah serta dihantar ke hospital sama.

“Pemandu kereta dikenali sebagai Zaidah Ghazali, 52, yang bekerja di Klinik Pergigian Ipoh, dekat sini bagaimanapun terselamat.

myMetro 16 Jan 2016




0 comments:

Post a Comment